Mulpha International jual pusat beli-belah Capri on Via Roma di Australia bernilai RM233.415 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mulpha International jual pusat beli-belah Capri on Via Roma di Australia bernilai RM233.415 juta

Pusat membeli-belah Capri on Via Roma. Gambar/Capri on Via Roma
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 4 Feb - Mulpha International Bhd (MIB) memeterai kontrak cadangan penjualan pusat membeli-belah Capri on Via Roma dan marina di Queensland, Australia dengan harga RM233.415 juta secara tunai.

 

Transaksi tersebut, yang dilakukan melalui Mulpha Capri Retail Pty Ltd, akan dijual kepada Capri Holding GC Pty Ltd.

 

Perjanjian itu ditandatangani pada 31 Januari 2025, dengan penyelesaian dijangka pada suku kedua 2025, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa Australia.

 

Hartanah yang terletak di Isle of Capri tersebut merangkumi ruang runcit dan komersial, serta tempat berlabuh marina dan hampir sepenuhnya disewa dengan kadar penghunian melebihi 95%.

 

Hasil penjualan akan digunakan terutamanya untuk membayar pinjaman bank yang berkaitan dengan hartanah berkenaan, manakala sebarang dana yang tinggal akan digunakan untuk aktiviti perniagaan MIB.

 

Langkah itu dijangka memperkukuhkan aliran tunai Kumpulan MIB dan memberikan kesan positif terhadap pendapatan per saham, aset bersih per saham dan pelarasan kewangan untuk tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2025.

 

Lembaga pengarah MIB percaya, penjualan tersebut adalah untuk kepentingan syarikat. - DagangNews.com