Muhibbah dijangka raih pendapatan tambahan jangka pendek hasil pemerolehan syarikat sisa industri Perancis - CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Muhibbah dijangka raih pendapatan tambahan jangka pendek hasil pemerolehan syarikat sisa industri Perancis - CIMB Securities

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 19 Jan – Muhibbah Engineering (M) Bhd dijangka memperoleh sokongan pendapatan dalam tempoh terdekat susulan pemerolehan terbaharu kumpulan itu dalam segmen peralatan sisa industri dan kitar semula, meskipun penganalisis kekal berhati-hati sementara menunggu proses konsolidasi sepenuhnya. menurut CIMB Securities.

 

Pemerolehan tersebut dibuat menerusi unit milik 64% kumpulan, Favelle Favco Bhd (Favco), yang bersetuju mengambil alih 100% kepentingan dalam syarikat berpangkalan di Perancis, Seram Industries SAS.

 

Di bawah perjanjian tersebut, Favco akan memperoleh Seram pada nilai sehingga €10 juta (kira-kira RM47 juta), melibatkan bayaran pendahuluan €7.5 juta serta bayaran tertunda €2.5 juta yang tertakluk kepada syarat tertentu seperti yang digariskan dalam perjanjian jual beli. Transaksi itu dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya pada 31 Januari ini.

 

Menurut CIMB Securities, pemerolehan berkenaan memberikan Muhibbah akses segera ke dalam segmen khusus peralatan sisa industri dan kitar semula, yang kini semakin menitikberatkan aspek automasi serta kecekapan tenaga.

 

“Dengan kawalan penuh ke atas Seram, Muhibbah berpotensi mengembangkan kehadirannya dalam pasaran khusus bernilai tinggi, sejajar dengan permintaan global terhadap penyelesaian pengurusan sisa yang lebih cekap dan mampan,” kata firma penyelidikan itu dalam nota penyelidikan.

 

Seram terlibat dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan, latihan, perkhidmatan serta penyelenggaraan kren angkat dan sistem penghantar elektrik untuk loji pengurusan sisa industri.

 

Nilai strategik pemerolehan itu turut diperkukuh oleh pemilikan sistem kren imbangan hidraulik berpaten, teknologi pengendalian bahan automatik serta kepakaran kejuruteraan Seram, yang meletakkan Muhibbah dan Favco dalam kedudukan lebih kukuh untuk menembusi segmen pasaran khusus berteknologi tinggi.

 

Berdasarkan keuntungan bersih teraudit Seram bagi FY24 sebanyak RM8.7 juta, CIMB Securities menganggarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) tersirat pemerolehan tersebut pada 5.5 kali.

 

Firma penyelidikan itu turut menyifatkan urus niaga berkenaan sebagai akretif kepada pendapatan sesaham (EPS) Favco, dengan EPS pro forma FY24 diunjurkan meningkat 14% kepada 26.2 sen, berbanding 23 sen sebelum ini.

 

Pemerolehan Seram ini menyusuli kejayaan Muhibbah memperoleh kontrak kerja platform kepala telaga luar pesisir di bawah projek Sepat Integrated Redevelopment milik PETRONAS Carigali Sdn Bhd, yang dianugerahkan pada 18 Disember dan disasarkan siap menjelang suku pertama 2029.

 

Menurut CIMB Securities, projek pembangunan minyak dan gas luar pesisir Sepat itu telah meningkatkan buku pesanan pembinaan Muhibbah sebanyak 3.4 hingga 3.9 kali, kepada antara RM994 juta hingga RM1.1 bilion.

 

CIMB Securities mengekalkan saranan Pegang ke atas Muhibbah dengan harga sasaran tidak berubah pada 54 sen, sementara menilai penyempurnaan pemerolehan dan keberkesanan integrasi Seram ke dalam kumpulan. - DagangNews.com