MTUC bantah cadangan hak faedah pekerja asing dihapuskan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MTUC bantah cadangan hak faedah pekerja asing dihapuskan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 Ogos — Cadangan pengecualian untuk pekerja asing yang sedia ada daripada menikmati hak faedah tertentu menerima bantahan keras daripada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

 

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, ia menyebabkan taraf negara ini boleh diturunkan daripada Tahap 2 kepada Tahap 3 dalam laporan Pemerdagangan Orang (TIP) Amerika Syarikat (AS).

 

MTUC turut memberi amaran bahawa syor Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng itu mahu pekerja tersebut dikecualikan gaji minimum dan caruman wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) amat berisiko.

 

“Reputasi Malaysia telah pun dicemari oleh banyak laporan TIP sebelum ini mengenai buruh paksa, yang telah membawa kepada sekatan kemasukan produk negara kita," katanya dalam satu kenyataan.

 

Guan Eng ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 di Dewan Rakyat pada 6 Ogos 2025 berkata, tiada keperluan wajib gaji minimum RM1,700 dan caruman 2% KWSP untuk pekerja asing sedia ada.

 

Mereka telah diambil bekerja di bawah penggal pentadbiran kerajaan terdahulu dan Penasihat DAP itu berkata, kedua-dua faedah tersebut sepatutnya hanya terpakai kepada pekerja asing yang baharu.

 

Beliau merujuk kepada dasar Singapura yang tidak memerlukan caruman sama untuk pekerja asing sejak 2003 tanpa dikenakan pun sebarang bantahan daripada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

 

Justeru, Guan Eng menyifatkan bahawa Malaysia juga sebagai langsung tidak terikat dengan mana-mana konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau ILO dalam isu serupa dilakukan negara jiran.

 

Mengulas lanjut, Kamarul Bahrin berkata, kedua-dua faedah yang perlu diterima untuk pekerja asing sedia ada adalah amat berkaitan dengan realiti semasa dihadapi oleh pekerja asing dan tempatan.

 

“Sebarang percubaan untuk mengeksploitasi pekerja asing dengan gaji rendah dan tiada perlindungan sosial akan menjejaskan matlamat kerajaan untuk mencapai status Tahap 1 menjelang 2030,” katanya.

 

Sehubungan itu, beliau menyifatkan cadangan Guang Eng itu mempromosikan dasar diskriminasi yang akan mengeksploitasi pekerja asing dengan membayar mereka gaji rendah tanpa perlindungan sosial.

 

Malaysia dinaik taraf kepada Tahap 2 dalam laporan TIP pada 2024, yang mentakrifkan negara ini sebagai tidak berjaya memenuhi sepenuhnya kadar piawaian minimum ditetapkan oleh Jabatan Negara AS.

 

Ini termasuk langkah penghapusan jenayah pemerdagangan manusia, tetapi Malaysia dalam laporan itu dianggap serius melakukan pelbagai usaha besar untuk menangani sepenuhnya masalah berkenaan.

 

Sebelum ini kata Kamarul Bahrin, Malaysia pernah berada di Tahap 3 pada 2021 dan 2022, yang meletakkan negara sebagai cukup berisiko terhadap sebarang potensi sekatan eksport produknya ke pasaran AS.

 

Gaji minimum katanya, adalah alat penting untuk meningkatkan pendapatan pekerja, dengan masih ramai termasuk yang sudah pun bekerja selama lebih 25 tahun, masih lagi memperoleh gaji kurang RM1,700.

 

"MTUC menggesa Kementerian Sumber Manusia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap majikan yang gagal mematuhi kadar gaji minimum baharu dikuatkuasakan sepenuhnya sejak 1 Ogos 2025," katanya.

 

Pendirian Guan Eng itu turut dikritik pelbagai pihak, termasuk Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, yang berkata ia bukan sekadar memenuhi konvensyen ILO, tetapi isu hak asasi manusia. - DagangNews.com