KUALA LUMPUR 8 April – Malaysia Smelting Corp Bhd (MSC) berdepan gangguan pengeluaran logam timah di loji peleburan miliknya di Pelabuhan Klang susulan bekalan gas terputus akibat letupan saluran paip di Putra Heights baru-baru ini.
Syarikat itu berkata, impak kewangan akibat gangguan tersebut masih belum dapat ditentukan setakat ini.
"Kesan daripada gangguan ini belum dikenal pasti, namun tidak dijangka memberi impak material kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Loji Pelabuhan Klang merupakan antara fasiliti utama MSC dalam pemprosesan logam timah, menjadikan insiden gangguan ini satu cabaran yang perlu ditangani segera bagi memastikan kelangsungan operasi.
MSC turut menyatakan pembekal gas kini berdepan ketidaktentuan dalam penyambungan semula operasi mereka, dan situasi ini memberi kesan langsung kepada proses pengeluaran syarikat.
“MSC kekal komited berurusan dengan pihak berkepentingan termasuk pembekal gas dan pihak berkuasa, sambil terus berusaha meminimumkan kesan daripada gangguan ini,” katanya dalam satu kenyataan.- DagangNews.com








