MRT Corp sasar tender terbuka bahagian jambatan LRT Pulau Pinang dilancar pada Oktober 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MRT Corp sasar tender terbuka bahagian jambatan LRT Pulau Pinang dilancar pada Oktober 2025

Foto ihsan portal rasmi MRT Corp
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 Julai — Malaysia Rapid Transit Corporation (MRT Corp) menyasar tender terbuka bagi bahagian jambatan projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang dilancarkan pada Oktober 2025.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, peringkat reka bentuk Laluan Mutiara itu telah siap dan syarikat tersebut sedang menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan.

 

Katanya, ia telah dibangunkan dengan teliti untuk menyediakan fleksibiliti maksimum bagi industri pelabuhan negeri itu berkembang pesat dengan turut mengambil kira kepentingan ekonomi dan sektor pelancongan.

 

 

 

 

 

"Kami telah mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang untuk memastikan jambatan itu tidak menghalang laluan maritim," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

 

Selain itu, Mohd Zarif berkata, reka bentuk jambatan tersebut akan mengambil kira aspek laluan perkapalan, kerana pelabuhan berkenaan adalah talian hayat untuk masa depan Pulau Pinang sendiri.

 

Beliau menambah bahawa, antara kemungkinannya Pelabuhan Pulau Pinang dinaik taraf menjadi pelabuhan kontena penuh, sama ada di Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Selatan yang mesti dipertimbangkan serius.

 

Jajaran jambatan dicadangkan itu katanya, menjangkau dua pelabuhan di Butterworth, yang memerlukan perancangan jangka panjang teliti untuk menampung pembesaran pelabuhan pada masa depan.

 

“Jambatan ini berada 62 meter di atas paras laut, yang lebih tinggi daripada Jambatan Pulau Pinang, tetapi masih dalam had untuk mengelak gangguan kepada laluan penerbangan awam," kata Mohd Zarif.

 

Sebagai langkah keselamatan tambahnya, pagar akan dipasang di sepanjang jambatan tersebut, yang menampilkan lintasan pejalan kaki untuk menghubungkan Butterworth ke Komtar di bahagian pulau itu.

 

Memandang ke hadapan, beliau berkata, MRT Corp membayangkan keperluan untuk empat laluan LRT yang meliputi Pulau Pinang dan Seberang Perai untuk ketersambungan dan kecekapan jangka masa panjang.

 

Kerajaan pusat telah mengambil alih projek LRT melalui MRT Corp daripada kerajaan Pulau Pinang pada Mac 2024 dan dijangka memberi perkhidmatan kepada 60,000 penumpang harian pada peringkat awalnya.

 

Konsortium SRS dibentuk meliputi Gamuda Berhad, Loh Phoy Yen Holdings Sdn Bhd dan Ideal Property Development Sdn Bhd, manakala MRT Corp, merupakan pemilik aset dan pengurus projek rel berkenaan.

 

Secara keseluruhan, Laluan Mutiara menjangkau 29.5 kilometer dengan 21 stesen, menghubungkan pulau tebus guna yang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas ke Komtar.

 

Ia seterusnya melalui jambatan rentas Selat Pulau Pinang ke kompleks Penang Sentral di Butterworth dengan kos dianggarkan RM13 bilion, dan penyiapan disasarkan menjelang 2031. - DagangNews.com