MRECA tekankan pentingnya pematuhan piawaian KKM, bezakan produk vape sah dengan yang mengandungi bahan terlarang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MRECA tekankan pentingnya pematuhan piawaian KKM, bezakan produk vape sah dengan yang mengandungi bahan terlarang

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 22 April - Persatuan Peruncit Rokok Elektronik Malaysia (MRECA) memandang serius peningkatan kes produk vape yang disyaki mengandungi bahan terlarang di pasaran, sambil menegaskan bahawa isu itu tidak boleh disalah tafsir sebagai masalah keseluruhan industri vape.

 

Presiden MRECA, Datuk Adzwan Ab Manas berkata, semua produk vape yang sah dan diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melalui ujian sewajarnya, termasuk penilaian makmal serta pematuhan terhadap piawaian yang ditetapkan.

 

“Produk vape yang mendapat kelulusan KKM perlu memenuhi keperluan ketat dari segi keselamatan dan kualiti. Ini termasuk proses pengujian yang memastikan kandungan produk mematuhi piawaian yang ditetapkan,” katanya.

 

Beliau turut menjelaskan bahawa produk sah itu hanya dijual melalui saluran peruncitan berdaftar dan terkawal, bukannya melalui pasaran gelap atau platform dalam talian yang tidak sah.

 

“Produk yang mematuhi peraturan dijual di premis berlesen dan dikendalikan oleh peniaga sah. Sebaliknya, produk yang mengandungi bahan terlarang lazimnya datang daripada saluran tidak sah yang beroperasi di luar rangka kawal selia,” tambahnya.

 

 

Presiden MRECA, Datuk Adzwan Ab Manas
Presiden MRECA, Datuk Adzwan Ab Manas

 


Dalam pada itu, MRECA turut memandang serius beberapa kandungan palsu yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini, yang dipercayai dibuat semata-mata untuk meraih tanda suka, komen dan perhatian tanpa memikirkan implikasi terhadap persepsi masyarakat.

 

Tindakan tidak bertanggungjawab itu seolah-olah menggambarkan pihak berkuasa tidak mengambil tindakan sewajarnya, sedangkan penguatkuasaan sentiasa dijalankan mengikut lunas undang-undang.

 

Industri turut terpalit dengan tuduhan tidak berasas kononnya peniaga menjual produk yang mengandungi dadah, sedangkan para pengusaha sah telah berusaha mematuhi syarat ketat yang ditetapkan di bawah Akta 852 serta peraturan berkaitan.

 

Laporan kepada pihak berkuasa

Sehubungan itu, laporan polis serta aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah dibuat bagi mengesan individu yang terlibat dalam penyebaran berita palsu tersebut agar tindakan sewajarnya dapat diambil mengikut undang-undang.

 

MRECA turut berpendapat bahawa tidak wajar untuk menyamakan produk vape yang sah dengan produk yang telah disalah guna atau dicemari bahan terlarang.

 

“Kita tidak boleh pukul rata. Isu produk yang mengandungi dadah atau bahan terlarang bukan semata-mata isu vape, sebaliknya melibatkan penyalahgunaan dadah dan juga aktiviti perdagangan haram,” katanya.

 

Beliau menambah, pendekatan yang lebih tepat ialah membezakan dengan jelas antara industri yang mematuhi peraturan dengan pihak tidak bertanggungjawab yang melanggar undang-undang.

 

“Adalah penting untuk tidak menyamakan produk yang sah dengan produk yang menyalahi undang-undang. Pendekatan ini akan memastikan tindakan penguatkuasaan dapat disasarkan dengan lebih berkesan tanpa menjejaskan pemain industri yang patuh,” katanya.

 

Kelulusan KKM

Dalam masa sama, MRECA menegaskan bahawa semua produk vape yang mendapat kelulusan KKM sememangnya telah melalui ujian klinikal dan penilaian ketat bagi memastikan ia memenuhi piawaian yang ditetapkan.

 

Perkara itu jelas membezakan produk sah dengan produk haram yang tidak melalui sebarang proses pengujian atau kawal selia.

 

“MRECA komited untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan industri ini kekal selamat, terkawal dan bertanggungjawab,” katanya. - DagangNews.com