KUALA LUMPUR 25 Julai — Mpire Global Berhad melantik Francis Leong Seng Wui sebagai Pengarah Eksekutifnya, manakala Ang Pei Gaik sebagai Pengarah Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif.
Kumpulan berkenaan pada masa yang sama, turut memaklumkan bahawa Teh Kok Liang telah meletakkan jawatannya sebagai Pengarah Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif.
Pelantikan Francis dan Pei Gaik itu dilakukan selepas kedua-dua individu tersebut menyertai Lembaga Pengarah Globetronics Technology Berhad pada 1 Julai 2025.
Globetronics kemudian pada 18 Julai 2025, dilaporkan melabur sejumlah RM45.05 juta dalam sekuriti Mpire, yang terdiri daripada saham biasa dan waran.
Susulan itu, Pengerusi Eksekutif Mpire, Datuk Goh Soo Wee dan Teh Kok Liang bukan lagi pemegang saham besar berikutan pelupusan kepentingan mereka melalui Mayapada Asset Sdn Bhd.
Francis juga memegang jawatan Pengarah dalam Revenue Group Bhd dan Hong Seng Consolidated Bhd, dengan memiliki kepentingan masing-masing sebanyak 5.38% dan 5.02%.
Beliau juga memiliki sebanyak 30.67% kepentingan dalam South Malaysia Industries Berhad (SMI), yang kini terlibat dalam usaha perebutan kedudukan lembaga pengarah.
Jenteranya, Target 1 Sdn Bhd, dikatakan telah melancarkan tawaran pengambilalihan mandatori untuk SMI dan sedang berusaha untuk memasang pengarah baharu.
Langkah Francis itu bagaimanapun ditentang secara aktif oleh SMI serta dicabar melalui proses undang-undang dan dakwaan penyelewengan prosedur.
Sebelum ini, beliau turut memegang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif di Green Packet Berhad dan Classita Holdings Berhad.
Saham Mpire ditutup tidak berubah kepada 10.5 sen semalam, menilai modal kumpulan itu pada RM94.34 juta manakala Globetrics juga kekal pada 41.5 sen, dengan permodalan RM280.28 juta. - DagangNews.com








