MPay raih projek aplikasi mudah alih Pelabuhan Pulau Pinang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MPay raih projek aplikasi mudah alih Pelabuhan Pulau Pinang

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 21 April - Managepay Systems Bhd (MPay) telah memperoleh surat anugerah daripada Penang Port Sdn Bhd (PPSB) bernilai RMRM270,270 bagi pelaksanaan perkhidmatan reka bentuk, pembangunan, pembekalan, konfigurasi, ujian, integrasi, pentauliahan serta penyelenggaraan aplikasi mudah alih PPSB yang akan dihoskan di platform awan (cloud).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penyedia penyelesaian pembayaran elektronik itu berkata, aplikasi mudah alih PPSB tersebut akan disiapkan dalam tempoh 4 bulan selepas menerima arahan bertulis daripada pegawai penyelia (superintending officer), serta akan menyediakan sokongan sistem yang menyeluruh sepanjang tempoh langganan selama tiga tahun.

 

“Surat anugerah ini tidak akan memberi kesan kepada modal saham terbitan dan pegangan saham pemegang saham utama syarikat.

 

“Namun, ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta pendapatan sesaham bersih syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 dan seterusnya,” katanya.

 

MPay atau Managepay Systems Bhd merupakan sebuah syarikat fintech berlesen Bank Negara Malaysia yang terlibat dalam pembangunan, penyediaan dan pengurusan perkhidmatan pembayaran, program keistimewaan dan kesetiaan, perniagaan pengeluaran dan pemerolehan kad, serta teknologi pembayaran berkaitan, kepakaran perniagaan dan keperluan keselamatan, termasuk sokongan logistik.


 

Penang Port

 


Sementara itu, Penang Port Sdn Bhd (PPSB) yang terletak di Pulau Pinang merupakan pelabuhan tertua dan paling lama beroperasi di Malaysia. PPSB memainkan peranan penting sebagai pintu masuk utama ke wilayah utara Malaysia serta selatan Thailand, selain berfungsi dalam lembangan Selat Melaka dan Teluk Benggala.

 

PPSB juga berperanan sebagai pelabuhan pelbagai guna yang menyumbang kepada pertumbuhan industri di Pulau Pinang.

 

Kedudukan strategik Pulau Pinang turut memberi kelebihan besar kerana ia terletak dalam rangkaian Segitiga Pertumbuhan Indonesia–Malaysia–Thailand (IMT-GT), yang menggalakkan pertumbuhan ekonomi diterajui sektor swasta serta memanfaatkan kelebihan komparatif negara anggota bagi pembangunan subrantau tersebut. - DagangNews.com