Moomoo Malaysia lancar Bengkel Moove Network bantu pelabur kuasai ilmu pasaran dan strategi pelaburan bijak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Moomoo Malaysia lancar Bengkel Moove Network bantu pelabur kuasai ilmu pasaran dan strategi pelaburan bijak

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 25 Feb - Platform pelaburan digital, Moomoo Malaysia, melancarkan bengkel Moove Network Workshop, satu inisiatif bagi melengkapkan pelabur dengan ilmu pasaran yang penting serta pendekatan pelaburan strategik. 

 

Dengan menggunakan slogan 'Learn Fast Invest Smart', siri bengkel itu direka khas untuk membantu pelabur baharu dan berpengalaman, meningkatkan keupayaan membuat keputusan serta yakin dalam pelaburan serta landskap kewangan yang dinamik.

 

Selari dengan komitmennya untuk memupuk celik kewangan, Moove Network Workshop menyediakan platform kepada pelabur untuk meningkatkan pengetahuan tentang dinamik pasaran, strategi pelaburan dan teknik pengurusan risiko. 

 

Disesuaikan untuk pelabur runcit serta komuniti Moo, sesi tersebut menampilkan perbincangan yang dikendalikan oleh pakar serta data pasaran masa nyata, bagi merapatkan jurang antara strategi institusi dan amalan pelaburan individu. 

 

Dengan persekitaran pembelajaran yang tersusun, bengkel berkenaan memperkasa peserta dengan alat yang diperlukan bagi menghadapi kerumitan pasaran dan mengoptimumkan portfolio mereka. 

 

MOo

 

Pendekatan itu dicerminkan dengan sesi pertama yang bertajuk Tinjauan Pasaran 2025: Membina Strategi Dagangan Berkesan yang menyelami prospek global, tempatan dan sektor tertentu yang bakal mencorakkan tahun hadapan.

 

Bengkel tersebut bermula dengan analisis berkaitan ekonomi global yang dinamik, dengan menekankan tiga trend utama. 

 

Ia mengupas perubahan kecerdasan buatan (AI) secara mendalam, dengan fokus kepada tiga fasa utama iaitu pembangunan, penggunaan dan perubahan serta bagaimana aspek berkenaan mempengaruhi peluang pelaburan. 

 

Polisi perdagangan Amerika Syarikat (AS) turut menjadi perbincangan utama, khususnya kesan tarif terhadap Kanada, Mexico dan China serta kesan lebih luas terhadap rantaian bekalan global. 

 

Selain itu, perubahan kadar faedah turut dibincangkan, dengan tumpuan kepada unjuran Rizab Persekutuan AS, jangkaan pasaran bon, serta bagaimana pendekatan tegas daripada pembuat dasar boleh mempengaruhi sentimen pelabur.

 

Sesi tersebut kemudian beralih kepada landskap ekonomi Malaysia serta bagaimana trend makroekonomi mempengaruhi pasaran tempatan. 

 

Para peserta diberikan huraian terperinci tentang pemangkin pertumbuhan Keluaran dalam Negara Kasar (KDNK), seperti permintaan domestik yang kukuh, pasaran buruh yang berdaya tahan, serta dasar fiskal kerajaan. 

 

Perbincangan juga merangkumi pendirian monetari Bank Negara Malaysia, dengan jangkaan kadar faedah dan unjuran inflasi. 

 

Selain itu, pergerakan mata wang turut diberi penekanan, khususnya kadar pertukaran USD/MYR, dengan menilai kebimbangan terhadap pengukuhan dolar AS serta langkah-langkah yang diambil bagi menyokong ringgit Malaysia, termasuk aliran masuk mata wang korporat dan program pelabur.

 

Antara segmen utama bengkel adalah huraian mendalam terhadap pelbagai sektor pasaran, dengan menilai peluang serta risiko merentasi industri seperti FBMKLCI, perladangan, kewangan, teknologi dan utiliti.

 

Dengan memberikan pandangan khusus tentang sektor-sektor utama, bengkel tersebut menekankan kepentingan menyesuaikan strategi pelaburan mengikut perubahan keadaan ekonomi.

 

MOo

 

Ketua Urusan Perdagangan di Moomoo Malaysia, Ken Low berkata, pendidikan kewangan amat penting memandangkan pelaburan memerlukan pengetahuan, strategi dan keyakinan. 

 

"Matlamat kami melalui Siri Moove Network Workshop adalah untuk membantu pelabur tanpa mengira tahap pengalaman, menghadapi kerumitan pasaran dengan jelas dan membuat keputusan bijak demi matlamat kewangan jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan.

 

Susulan kejayaan acara sulung berkenaan, Moomoo Malaysia merancang untuk melaksanakan Moove Network Workshop setiap bulan.

 

Sesi yang berikutnya akan merangkumi topik seperti pilihan strategi perdagangan, Dana Dagangan Bursa (ETF) dan dana pasaran wang, serta analisis asas dan teknikal. 

 

Setiap sesi akan memberikan tumpuan kepada teknik praktikal dan pandangan pakar bagi membantu pelabur memperhalusi strategi mereka. - DagangNews.com