Moomoo Malaysia berjaya merekodkan lebih sejuta pengguna berdaftar dalam tempoh 17 bulan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Moomoo Malaysia berjaya merekodkan lebih sejuta pengguna berdaftar dalam tempoh 17 bulan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 Julai — Moomoo Securities Malaysia Sdn Bhd (Moomoo Malaysia) merekodkan lebih sejuta pengguna berdaftar dalam tempoh 17 bulan setelah platform pelaburan digital itu dilancarkan.

 

Firma sekuriti dengan pelanggan terbesar di Hong Kong dan Singapura itu berkata, ia menandakan penerimaan pantas rakyat terhadap pelaburan yang lebih berasaskan data dan berteknologi tinggi.

 

Perkembangan pesat itu katanya, mencerminkan perubahan asas dalam tingkah laku pelabur runcit kini beralih kepada platform yang menawarkan akses maklumat kewangan dan peluang pelaburan global.

 

"Sejak dilancarkan pada Februari 2024, kami membuktikan antara broker utama mencapai 100,000 pengguna dan aplikasi kewangan paling dimuat turun selepas enam minggu," katanya dalam kenyataan.

 

Tambahnya, berbekalkan momentum awal itu, platform kewangan tersebut mampu berkembang sepuluh kali ganda kepada lebih sejuta pengguna direkodkan di Malaysia dalam tempoh kurang dua tahun sahaja.

 

Ia mencerminkan pelabur semakin teliti kepada maklumat pasaran, keupayaan analitik lanjutan, dan akses bersepadu kepada pasaran global, yang sebelum ini hanya untuk para pelabur profesional.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Moomoo Malaysia, Ivan Mok dalam kenyataan itu berkata, tingkah laku pelabur Malaysia jelas berkembang dengan kemunculan pelabur yang lebih bermaklumat dan bijak.

 

"Mereka bukan melihat aspek yuran rendah dan platform transaksi semata-mata, sebaliknya mencari analitik kukuh dan data masa nyata untuk membuat keputusan jangka panjang lebih baik," katanya.

 

Kejayaan melepasi sejuta pengguna itu tambah beliau, bukan sekadar mengenai pertumbuhan syarikat tersebut, tetapi menandakan peningkatan jangkaan dan kematangan pasaran modal Malaysia sendiri.

 

Sejak memasuki pasaran, Moomoo Malaysia katanya, telah memperkenalkan pelbagai inovasi untuk menjadikan pelaburan bertaraf profesional yang lebih mudah diakses oleh semua pelabur runcit.

 

Ia juga kata Ivan, menawarkan berita dan data pasaran masa nyata menyeluruh, akses lancar ke bursa Hong Kong, China, Singapura, dan Malaysia, serta dagangan opsyen di pasaran Amerika Syarikat (AS).

 

"Selaras misi untuk pemerkasaan pelaburan lebih bijak, Moomoo Kecerdasan Buatan (AI) dilancarkan untuk membantu pengguna menganalisis saham, mengenal pasti trend, dan memahami data," katanya.

 

Beliau berharap, apabila semakin ramai pelabur runcit mengambil perspektif global, industri broker mampu berkembang seiring dengan mereka dan mendekati pasaran secara lebih yakin. - DagangNews.com