KUALA LUMPUR 31 Jan - Penolong Ketua Staf Perkhidmatan Kakitangan, Datuk Mohd Nizam Jaffar dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) Ke-23, berkuat kuasa hari ini.
Beliau yang memulakan karier sebagai Ketua Platun di Batalion ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), menggantikan Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman yang bersara wajib selepas berkhidmat hampir empat dekad bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Kementerian Pertahanan memaklumkan, pelantikan Mohd. Nizam mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
"Pada hari ini secara rasminya, Mohammad menyerahkan tampuk pemerintahan ATM kepada Jeneral Mohd Nizam.
"Atas komitmen dan kecemerlangan sepanjang menabur bakti dalam perkhidmatan, beliau telah diberi kepercayaan untuk menerajui ATM," kata kementerian dalam satu kenyataan.
Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Panglima Angkatan Tentera Ke-23 itu disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Auditorium Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan Malaysia, di sini, hari ini.
Ia menyaksikan perubahan bersejarah apabila beliau memecah tradisi dan menjadi PAT pertama bukan dalam kalangan Panglima Tentera Darat, Udara dan Laut sedia ada.
Mohd Nizam merupakan graduan daripada Royal Military Academy Sandhurst, England dan pernah menyertai pelbagai kursus di peringkat antarabangsa.
Beliau pernah berkhidmat di pelbagai jawatan dalam ATM antaranya sebagai Juruiring Timbalan Panglima Tentera Darat dan Juruiring Panglima Angkatan Tentera pada tahun 1990-1992.
Beliau juga berjaya menamatkan pengajian di Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas), Putrajaya dengan cemerlang dan telah dianugerahkan The National Resilience College (NRC) Award oleh NRC Directing Staff Council.
Mohd Nizam juga pernah memegang jawatan Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia, Ipoh dan seterusnya dilantik sebagai Pengarah Pengurusan Latihan di Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat, Port Dickson.
Sebelum menjawat jawatan sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKS PA) di Bahagian Perkhidmatan Anggota, Markas Angkatan Tentera Malaysia (MK ATM – BPA), beliau telah menjawat jawatan sebagai Komandan Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Puspahanas, Putrajaya.
Pencapaian Mohd. Nizam pada peringkat antarabangsa pula memperlihat beliau mencipta sejarah sebagai Pegawai Kanan Tentera Darat Malaysia pertama yang terpilih menghadiri Global Peace Operations Initiative (GPOI) Peace Support Operations Contingent Commander Course di Monterey, Amerika Syarikat sebelum dilantik sebagai Komander Malaysian Battalion (Malbatt) 2 di Lubnan. - DagangNews.com








