KUALA LUMPUR 17 Jun – Pengarah Eksekutif Sersol Bhd, Datuk Mohamed Suffian Awang, kembali menjadi pemegang saham terbesar syarikat pengeluar cat industri itu selepas membeli 13.671% pegangan.
Sersol berkata, Mohamed Suffian membeli 100 juta saham syarikat pada harga keseluruhan RM500,000 atau setengah sen sesaham melalui syarikat IceAge Property Sdn Bhd.
"Urus niaga ini dibuat secara persendirian pada 12 Jun lalu.
"Harga pembelian ini adalah 80% lebih rendah daripada harga penutupan saham Sersol iaitu 2.5 sen pada hari yang sama," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.

Saham tersebut dibeli daripada Jessie Lim Me Xian, yang tidak lagi menjadi pemegang saham utama selepas menjual keseluruhan pegangan beliau.
Pada 3 Februari lalu, Me Xian muncul sebagai pemegang saham terbesar selepas membeli blok saham yang sama daripada Mohamed Suffian, yang ketika itu memegangnya melalui syarikat lain, Forever Famous Sdn Bhd.
Me Xian juga adalah pemegang saham utama dalam Cuscapi Bhd, dengan pegangan sebanyak 7.22%.
Mohamed Suffian mula menjadi pemegang saham terbesar Sersol pada pertengahan Januari tahun ini selepas membeli 13.671% pegangan daripada Hillcove Sdn Bhd, juga pada harga diskaun.
Sebelum dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Sersol pada Ogos 2023, Mohamed Suffian pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas di Felda Global Ventures Bhd. - DagangNews.com








