KUALA LUMPUR 26 Jun — Nilai permodalan RCE Capital Berhad dibimbangi susut lebih RM30 juta pada tahun kewangan 2026 (FY26), apabila semakin ramai penjawat awam muflis, kata CIMB Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, situasi negatif tersebut berikutan siasatan penipuan dilancarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menerusi Ops Sky di seluruh negara sejak awal Mac 2025.
Katanya, keadaan berkenaan mengakibatkan buku pinjaman RCE Capital dalam masalah besar walaupun terdapat tanda-tanda awal berlaku penyederhanaan dalam peruntukan rosot nilai kumpulan tersebut.
"Pengurusan namun memberi amaran terlalu awal untuk memanggil trend normalisasi, dan menambah rosot nilai dalam FY26 berkemungkinan kekal di atas purata sejarah," katanya dalam nota kajian.
Kira-kira 4,000 dokumen dirampas SPRM melalui Ops Sky selain 98 akaun bank bernilai lebih RM22 juta dibekukan manakala 18 pegawai bank dan lapan petugas syarikat perunding kewangan ditahan.
Ia dilakukan susulan ramai penjawat awam dalam status kewangan bermasalah melakukan pinjaman bank 'luar biasa' untuk pembiayaan perumahan, kenderaan dan peribadi mencecah hampir RM200 juta.
Mengulas lanjut, CIMB Securities berkata, kerugian kemerosotan nilai RCE Capital melonjak kepada RM15 juta pada suku keempat berakhir 31 Mac 2025, iaitu meningkat 79.2 peratus suku ke suku.
"Ini menjadikan jumlah nilai pada tahun itu lebih tinggi secara mendadak disebabkan peningkatan pengeluaran pembiayaan, dan andaian makro yang dikaitkan dengan siasatan kes Ops Sky," katanya.
Tambah firma tersebut, sehingga 27 Mei 2025, kira-kira RM1.96 juta, atau 0.1 peratus daripada portfolio pembiayaan RCE Capital dikenal pasti sebagai terdedah dan telah terjejas sepenuhnya.
Keadaan diburukkan lagi apabila kerajaan mewujudkan 'dasar peluang kedua' yang membenarkan individu mengisytiharkan muflis secara sukarela sebagai pertukaran untuk pemulihan kewangan.
Susulan langkah terbaharu berkenaan, CIMB Securities mendapati, kemerosotan yang berkaitan dengan kebankrapan mula melonjak amat drastik sebanyak 115.2 peratus tahun ke tahun pada FY25.
"Pembiayaan tidak berbayar RCE Capital meningkat kepada RM95.5 juta pada 4QFY25, melonjak 14.7 peratus daripada tahun sebelumnya, melebihi julat dalam sejarah kumpulan itu sendiri," katanya.
Memandang ke hadapan, syarikat itu menjangkakan pemulihan sederhana dalam pertumbuhan pinjaman, disokong oleh kenaikan gaji kakitangan awam berperingkat yang diperkenalkan pada Disember 2024.
Bagaimanapun, CIMB Securities memberi amaran bahawa kapasiti pinjaman dalam kalangan penjawat awam mungkin sudah berkurangan di tengah-tengah peningkatan kos sara hidup dan paras hutang.
"Situasi ditambah dengan persaingan yang semakin sengit daripada pemberi pinjaman digital seperti TnG Digital, Grab dan Shopee, prospek pertumbuhan RCE kekal terhad," katanya. - DagangNews.com








