KUALA LUMPUR 7 Feb - MN Holdings Bhd menamatkan kerjasama dengan syarikat rumusan keselamatan siber, Intelligent Pie Consulting Sdn Bhd (IPIE) berikutan kegagalan mendapatkan tender sepanjang menjalinkan usaha sama.
MN Holdings berkata, Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada Februari 2023 itu bertujuan untuk mendapatkan tender bagi projek keselamatan teknologi operasi, namun ia gagal dilaksanakan.
"Kerjasama antara syarikat kami dan Intelligent Pie tamat semalam dan tidak akan dilanjutkan.
"Ini disebabkan aliran tender yang lemah dalam segmen pasaran yang ditetapkan dalam MoU tanpa sebarang tender yang berjaya diperoleh sehingga kini," jelas pembekal kejuruteraan utiliti bawah tanah dan pencawang itu dalam pemfailan kepada bursa.
MN Holdings bagaimanapun berkata, kedua-dua pihak akan terus meneroka peluang perniagaan yang berpotensi dari semasa ke semasa dan tetap terbuka untuk bekerjasama pada masa hadapan apabila keadaan pasaran bertambah baik.
MoU yang ditandatangani itu menetapkan untuk meneroka lima segmen pasaran iaitu Tenaga Nasional Bhd, Sarawak Energy Bhd, Sabah Electricity Bhd, loji kuasa bebas dan loji kuasa solar serta bateri. - DagangNews.com








