KUALA LUMPUR 15 Mei – MN Holdings Berhad terus mengukuhkan kedudukan dalam segmen infrastruktur pusat data (DC) apabila anak syarikat milik penuhnya memperoleh kontrak bernilai RM83.5 juta.
Katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia, tender terbaharu itu melibatkan pembinaan stesen pendaratan pengguna berkapasiti 275kV sebagai sokongan bagi sebuah DC yang dirancang di Johor.
Surat penganugerahan (LOA) bertarikh 12 Mei 2026 itu diperoleh MN Utilities Engineering Sdn Bhd daripada sebuah syarikat penyediaan infrastruktur DC dan perkhidmatan berkaitan pemprosesan data.
"Kontrak ini melibatkan kerja-kerja reka bentuk, pembinaan, pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian dan pentauliahan untuk stesen pendaratan pengguna (CLS) yang baharu," kata MN Holdings.
Projek terkini berkenaan jelas kumpulan rumusan kejuruteraan elektrik tempatan tersebut, sudah pun bermula pada 11 Mei 2026, serta dijangka perlu disiapkan sepenuhnya menjelang 31 Januari 2027.
Menurut syarikat itu, kontrak berkenaan dijangka mampu memberi sumbangan secara positif kepada pendapatan masa depan serta aset bersih sesaham kumpulan tersebut sebaik sahaja projek dimulakan.
MN Holdings menambah, selain daripada risiko operasi biasa, lembaga pengarahnya tidak mengetahui sebarang faktor risiko lain yang kemungkinan boleh timbul daripada penerimaan LOA berkenaan.
"Syarikat ini turut menjelaskan yang usaha penerimaan kontrak tersebut tidak akan memberi apa-apa kesan terhadap modal saham terbitan dan pegangan saham pemegang saham utama syarikat," katanya.
Pada masa sama ujarnya lagi, tiada mana-mana pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan yang mempunyai sebarang kepentingan sama ada langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut.
Perolehan projek itu dilihat selari perkembangan pesat industri DC yang terus dipacu permintaan tinggi terhadap kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan infrastruktur digital. - DagangNews.com








