KUALA LUMPUR 19 Jan – MN Holdings (MNH) mengukuhkan kedudukannya dalam segmen infrastruktur kuasa pusat data (DC) selepas memperoleh kontrak bernilai RM122.7 juta daripada pelanggan baharu, sebuah syarikat perunding kejuruteraan berpusat di Amerika Syarikat, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan itu berkata, dengan margin PAT dijangka 7%, kontrak ini akan menyumbang kira-kira RM8.6 juta sepanjang tempoh projek, dengan sebahagian besar pendapatan diiktiraf pada FY27E, mewakili 11% daripada unjuran MNH.
Projek ini melibatkan pembekalan, pemasangan, penghantaran dan pengoperasian transformer kuasa serta peralatan berkaitan lain, dijangka siap menjelang Jun 2027.
"Pelanggan baharu ini membolehkan MNH memperluaskan asas pelanggan dalam segmen DC, sekaligus meningkatkan jumlah kontrak FY6/26 kepada RM194 juta, atau 39% daripada sasaran pengisian semula FY26E sebanyak RM500 juta.
"Kemenangan projek ini juga menaikkan buku pesanan tertunggak MNH kepada RM918.1 juta, bersamaan 1.7 kali hasil FY6/25," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut Maybank IB lagi, MNH masih mempunyai buku tender bernilai RM2.0 bilion, terutamanya bagi projek berkaitan TNB (40%), DC (40%), manakala baki 20% daripada sektor lain termasuk air, pembetungan, paip gas, dan solar.
MNH juga katanya, mengekalkan unjuran pendapatan FY26E, memandangkan kontrak baharu ini masih dalam anggaran pengisian semula RM500 juta.
Maybank IB mengekalkan saranan Beli (BUY) dengan harga sasaran RM2.27, berdasarkan 23x FY26E EPS (+1SD daripada purata 3 tahun).
Menurut firma itu lagi, MNH terus menjadi pilihan utama pelabur kerana pendedahan strategiknya dalam segmen DC, TNB, dan solar, yang dijangka menyokong pertumbuhan kukuh syarikat pada masa hadapan. - DagangNews.com








