KUALA LUMPUR 7 Julai — MN Holdings Berhad dijangka tidak terjejas disebabkan isu larangan eksport cip kecerdasan buatan (AI) ke Amerika Syarikat (AS), kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan tersebut berkata, risiko pelaksanaan perintah berkenaan yang sebelum itu telah menimbulkan kebimbangan besar sebenarnya didapati hanya bersifat minimum dan juga adalah terhad.
Situasi itu tambahnya, berikutan kejayaan kumpulan tersebut memperoleh kontrak terbaharu daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 4 Julai 2025 dan menaikkan buku tempahannya kepada RM1.17 bilion.
"Pada pandangan kami, keadaan berkenaan sepatutnya membantu MN mengurangkan kekhuatiran mengenai berita larangan penjualan cip AI ke pasaran AS selepas ini," kata Maybank IB dalam nota kajiannya.
Kumpulan itu tambahnya, menerima tender terkini untuk kerja-kerja pencawang TNB bernilai RM29.3 juta di Johor dan mengesahkan ia sebagai penerima berpotensi menaik taraf utiliti di negara ini.
Selain itu, MN juga kata firma berkenaan sedang aktif meneroka peluang dalam projek solar berskala besar (LSS), sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), serta beberapa projek air dan rawatan sisa.
Buku tempahan tertunggak pusat data dikendalikan kumpulan tersebut sebahagian besarnya disokong oleh pelanggan dari China, yang langsung tidak terjejas dengan ketara oleh sekatan AS tersebut.
Katanya, kebanyakan pelanggan projek MN mengendalikan beban kerja awan berasaskan unit pemprosesn pusat dan tidak bergantung kepada model lain sebagai perkhidmatan, yang di luar skop larangan.
"Kami juga memahami pelanggan masih aktif berkembang di Johor dan Lembah Klang dengan pertumbuhan jangka panjang dijangka kekal disokong dengan baik oleh faktor pemacu struktur," kata Maybank IB.
Kemajuan itu tambahnya, disokong peningkatan grid dan pencawang TNB secara berterusan, termasuk beberapa projek 500kV yang akan datang selain MN meneroka peluang dalam LSS5, LSS5+ dan LSS6.
Kesemua tender kata firma tersebut, disasarkan untuk operasi komersial antara 2026 sehingga 2027, di samping fokus pembangunan infrastruktur gas dan BESS dengan buku tendernya kini bernilai RM1.8 bilion.
Berdasarkan perkembangan itu, Maybank IB mengulangi saranan 'beli' ke atas prospek kumpulan berkenaan dengan harga sasaran tidak berubah kepada RM1.69 sesaham. - DagangNews.com








