Mitsubishi Corporation fokus kerjasama sifar karbon dengan Sarawak, sasar pembangunan tenaga lestari | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mitsubishi Corporation fokus kerjasama sifar karbon dengan Sarawak, sasar pembangunan tenaga lestari

Kiyotaka Kikuchi (empat dari kiri) dan delegasi Mitsubishi Corporation bergambar bersama Abang Johari (tengah) serta pegawai-pegawai kerajaan Sarawak. Gambar/ FB Unit Komunikasi Awam Sarawak - UKAS

KUALA LUMPUR 3 Feb - Mitsubishi Corporation menyatakan minat untuk terus mengukuhkan kerjasama dengan Sarawak dalam pelbagai bidang, khususnya dalam pembangunan bebas karbon.

 

Naib Presiden Eksekutifnya, Kiyotaka Kikuchi berkata, beliau belum membincangkan secara terperinci tentang projek-projek tertentu bersama kerajaan negeri, namun ia akan memberi manfaat bersama terutamanya dalam tenaga hijau dan inisiatif kelestarian alam sekitar.

 

"Sarawak dilihat mempunyai potensi besar untuk menjadi pusat bebas karbon di rantau ASEAN, dengan kemudahan yang semakin berkembang dan dasar mesra pelaburan.

 

"Perbincangan lanjut dijangka diteruskan dalam mesyuarat-mesyuarat akan datang bagi memperincikan bentuk-bentuk kerjasama yang boleh dilaksanakan antara Mitsubishi Corporation dan Sarawak dalam sektor tenaga lestari," katanya seperti laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas).

 

Beliau berkata demikian semasa lawatan hormat bertemu Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

 

Pada pertemuan itu, Kikuchi turut menyatakan penghargaan Mitsubishi Corporation terhadap hubungan erat yang telah dijalin dengan kerajaan Sarawak selama 50 tahun.

 

Abang Johari dalam pertemuan tersebut, menekankan kepentingan memastikan kejayaan projek yang berkaitan dengan pembebasan sifar karbon. - DagangNews.com