Mita tarik balik kadar tambang siling bas pelancongan selepas disiasat MyCC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mita tarik balik kadar tambang siling bas pelancongan selepas disiasat MyCC

Gambar hiasan
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Julai – Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (Mita) menarik balik pelaksanaan kadar tambang siling bagi bas dan van pelancongan selepas siasatan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mendapati pengumuman itu berpotensi menimbulkan kebimbangan dari sudut persaingan dalam industri.

 

Mita dalam satu kenyataan mengakui pengumuman kadar tambang siling yang dibuat pada 30 Mac lalu mungkin menimbulkan isu di bawah Akta Persaingan 2010 kerana ia boleh ditafsirkan sebagai mempengaruhi mekanisme penetapan harga dalam pasaran.

 

Menurut persatuan itu, mereka mengiktiraf kepentingan memastikan pasaran kekal kompetitif, telus dan adil demi kepentingan pengguna, pemain industri serta pembangunan sektor pelancongan negara.

 

 

 

 

 

 

“Sehubungan itu, Mita memutuskan untuk menarik balik sepenuhnya pengumuman mengenai kadar tambang siling tersebut dan meminta semua ahli supaya tidak melaksanakan, menggunakan atau menjadikannya sebagai rujukan dalam menentukan harga perkhidmatan.

 

“Semua pengusaha bas dan van pelancongan bebas menetapkan kadar tambang masing-masing berdasarkan pertimbangan komersial, termasuk kos operasi, permintaan pasaran dan strategi perniagaan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.


MyCC Pantau Pematuhan Akta Persaingan

Mita turut memaklumkan bahawa ia secara sukarela telah mengemukakan aku janji kepada MyCC untuk tidak terlibat dalam sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan persaingan selain mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan semua pemegang jawatan dan ahlinya mematuhi Akta Persaingan 2010.

 

Menurut persatuan itu, komitmen tersebut mencerminkan kesediaannya untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam memastikan setiap keputusan berkaitan perniagaan dibuat secara bebas tanpa sebarang unsur penyelarasan harga yang boleh menjejaskan persaingan sihat.

 

Pada masa sama, Mita menggesa semua perusahaan dan persatuan industri di Malaysia supaya memastikan setiap keputusan komersial, termasuk berkaitan harga, caj dan syarat perdagangan, dibuat secara bebas serta mematuhi sepenuhnya peruntukan Akta Persaingan 2010.

 

Pada 30 Mac lalu, Mita mengumumkan kenaikan kadar tambang siling baharu bagi bas dan van pelancongan sebagai langkah membantu pengusaha menyesuaikan kadar caj susulan peningkatan kos operasi, khususnya kenaikan harga diesel.

 

Bagaimanapun, tindakan itu mendapat perhatian MyCC kerana sebarang cadangan atau penyelarasan harga oleh persatuan industri berpotensi menjejaskan persaingan pasaran sekiranya dijadikan panduan bersama oleh semua pemain industri.

 

 

 

 

 

Pengusaha Kini Bebas Tentukan Harga Sendiri

Dengan penarikan balik kadar tambang siling itu, pengusaha bas dan van pelancongan kini bebas menentukan harga perkhidmatan masing-masing tanpa sebarang panduan daripada persatuan yang akan memastikan persaingan harga terus berlaku mengikut keadaan pasaran.

 

Perkembangan itu juga dilihat mengukuhkan prinsip persaingan terbuka dalam industri pelancongan negara, di mana setiap pengendali perlu bersaing menerusi kualiti perkhidmatan, kecekapan operasi dan penawaran harga yang ditentukan secara bebas, selaras dengan kehendak Akta Persaingan 2010. - DagangNews.com