Miliki penampan modal mencukupi, amalan penjimatan berhemat kukuhkan sektor perbankan, Kenanga Research kekalkan penarafan Overweight | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Miliki penampan modal mencukupi, amalan penjimatan berhemat kukuhkan sektor perbankan, Kenanga Research kekalkan penarafan Overweight

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 21 Okt – Sektor perbankan Malaysia terus menunjukkan daya tahan yang kukuh, meskipun berdepan cabaran luaran termasuk ketegangan perdagangan global, kelembapan pertumbuhan ekonomi dunia serta dasar monetari yang berubah-ubah di Amerika Syarikat dan negara maju lain, menurut Kenanga Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, berdasarkan semakan terhadap Laporan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama 2025 (1HCY25 FSR), pasaran perbankan tempatan dilihat masih stabil, disokong oleh asas kewangan yang kukuh dan pertumbuhan ekonomi domestik yang mampan.

 

"Kami mengekalkan saranan OVERWEIGHT terhadap sektor perbankan, kerana institusi kewangan dilihat bersedia menangani ketidaktentuan jangka pendek berkat penampan modal yang mencukupi dan amalan pinjaman yang berhemat," katanya.

 

Menurut Kenanga, permintaan yang kukuh dalam sektor eksport barangan elektrik & elektronik, pemulihan berterusan dalam pelancongan serta peningkatan aktiviti pelaburan dijangka menyokong daya tahan perniagaan dan isi rumah.

 

Katanya, sekiranya trajektori pertumbuhan ekonomi berubah menjadi kurang menggalakkan, bank-bank Malaysia masih mempunyai penampan modal yang kukuh untuk menyerap kejutan pasaran. 

 

"Kapasiti servis hutang isi rumah juga kekal sihat, hasil daripada pendekatan pemberian pinjaman yang berhati-hati oleh pihak bank," ujarnya.

 

Berdasarkan data 1HCY25, pinjaman perumahan dan sewa beli menyumbang kira-kira 48% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan. Antara bank yang menonjol dalam segmen ini ialah Hong Leong Bank (HLBANK) dan Public Bank (PBBANK) masing-masing dengan pendedahan sekitar 60% terhadap segmen pengguna runcit ini, sejajar dengan profil tumpuan runcit mereka.

 

Sebaliknya, ujar Kenanga, bagi pendedahan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Alliance Bank (ABMB) perlu diberi perhatian lebih berhati-hati kerana sekitar 16% portfolio pinjamannya tertumpu dalam sektor perdagangan borong dan runcit, restoran dan hotel – segmen yang dikenal pasti sebagai berisiko lebih tinggi dalam laporan FSR.

 

AMMB (Ambank) pula mencatatkan pendedahan sekitar 10%, sejajar dengan purata bank modal besar lain (8%–10%), mencerminkan portfolio yang lebih terpelbagai dari segi risiko.

 

Kenanga menamakan Ambank sebagai Pilihan Utama (Top Pick) untuk 4QCY25, hasil fokus kumpulan kepada pemacu pendapatan yang lebih kukuh berbanding mengejar bahagian pasaran dalam segmen kurang menguntungkan. 

 

Peralihan baru kepada status FIRB juga telah meningkatkan nisbah CET-1 kepada sekitar 15%, membolehkan pembayaran dividen lebih tinggi menjadikan Ambank antara peneraju sektor dari segi hasil dividen sekitar 6%.

 

Dalam kalangan bank modal besar pula, Hong Leong Bank (HLBANK) menjadi pilihan, selepas meningkatkan nisbah pembayaran dividen kepada 45%, sekali gus menaikkan unjuran hasil dividen kepada sekitar 5% – sejajar dengan purata sektor. 

 

Daya tarikan jangka panjang bank ini turut disokong oleh kualiti aset yang cemerlang (Nisbah Pinjaman Tidak Berbayar: 0.54%, Kos Kredit: <10 mata asas).

 

Sementara itu, Maybank (MAYBANK) terus menjadi pegangan utama walaupun prospek pinjaman serantau lebih berhati-hati. Di pasaran domestik, MAYBANK mengekalkan prestasi kukuh dengan pertumbuhan pinjaman melebihi industri (6.5% berbanding 5.1%) serta nisbah GIL yang lebih baik (1.30% setakat Jun 2025). Bank ini juga terus menawarkan hasil dividen sekitar 6%, menjadikannya menarik kepada pelabur pendapatan. - DagangNews.com