Midtown Engineering raih kontrak RM40.5 juta untuk projek pusat data Cyberjaya | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Midtown Engineering raih kontrak RM40.5 juta untuk projek pusat data Cyberjaya

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Feb – Midtown Group Berhad (sebelum ini dikenali sebagai Pasukhas Group Berhad) mengumumkan anak syarikatnya, Midtown Engineering Sdn. Bhd (MESB) meraih kontrak daripada Exyte Malaysia Sdn. Bhd. (EMSB) untuk projek pusat data di Cyberjaya. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Midtown berkata projek ini melibatkan pakej C04C yang merangkumi substruktur, superstruktur dan kerja kesihatan awam.

 

“Nilai kontrak bagi projek tersebut dianggarkan sebanyak RM40.5 juta dan dijangka bermula pada 6 Februari 2026, dengan tarikh siap yang ditetapkan pada 6 November 2026. 

 

“MESB adalah anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Midtown dan terlibat dalam reka bentuk, integrasi sistem, pemasangan, pengujian serta perkhidmatan pembinaan awam dan mekanikal,” katanya dalam makluman tersebut.

 

EMSB, pihak yang memberikan LOA, telah ditubuhkan pada 16 Disember 2003 dan berperanan sebagai kontraktor dalam penyediaan perkhidmatan pembinaan dan pemasangan fasiliti bangunan. 

 

Pada masa ini, EMSB mempunyai modal berbayar berjumlah RM10 juta.

 

Skop projek meliputi pembekalan, penghantaran, pemasangan, pemeriksaan, pengujian dan semua item berkaitan seperti yang ditetapkan dalam LOA. 

 

Projek ini dijangka menjadi langkah strategik Midtown dalam mengembangkan perniagaan mereka, terutamanya dalam sektor pembinaan dan kejuruteraan.

 

Midtown berkata projek ini dijangka memberikan kesan positif kepada hasil dan aliran kewangan pada masa depan. 

 

“Namun, projek ini tidak dijangka memberi kesan segera kepada pendapatan sesaham, aset bersih per saham atau nisbah hutang syarikat,” katanya.

 

Lembaga pengarah Midtown menyatakan tiada risiko besar selain daripada risiko operasi biasa yang berkaitan dengan pelaksanaan projek. 

 

Selain itu, tiada pengarah, pemegang saham utama atau individu yang berkepentingan mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam projek ini.

 

LOA ini tidak memerlukan kelulusan tambahan daripada pemegang saham atau pihak berkuasa kerana ia adalah sebahagian daripada aktiviti perniagaan biasa syarikat. - DagangNews.com