Mi Technovation berjaya kurangkan kerugian 1HFY26, PublicInvest naikkan 16% unjuran keuntungan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mi Technovation berjaya kurangkan kerugian 1HFY26, PublicInvest naikkan 16% unjuran keuntungan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 24 JulaiMi Technovation Berhad semakin hampir mencatat prestasi kewangan terbaik dalam sejarah syarikat tersebut selepas berjaya mengurangkan kerugian segmen perniagaan baharu.

 

Perkembangan yang dicatatkan pada separuh pertama FY26 itu lebih pantas daripada jangkaan, dan mendorong Public Investment Bank menaikkan unjuran keuntungan FY26 hingga FY28 mencecah 16%.

 

Penilaian positif tersebut mencerminkan keyakinan firma berkenaan terhadap momentum pertumbuhan syarikat, dengan prestasi lebih baik itu didorong oleh penyusutan kerugian dalam dua unit perniagaannya.

 

"Usaha itu susulan kawalan kos yang lebih berkesan, peningkatan jualan sistem pacuan elektrik, selain pengembangan margin daripada operasi semikonduktor yang terus kukuh," katanya dalam nota.

 

Berdasarkan kepada situasi semasa itu, PublicInvest turut mengekalkan saranan 'outperform' ke atas saham Mi Technovation dengan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM7.79 sesaham daripada RM6.79.

 

Tambahnya, kerugian operasi dalam segmen unit perniagaan teknologi kenderaan (VTBU) dan unit perniagaan teknologi semikonduktor (STBU) turut dijangka lebih rendah berbanding jangkaan awal.

 

Mi Technovation_DagangNews2026

 

Prestasi 1HFY26 merupakan terbaik pernah dicapai syarikat, dengan Taiwan kekal pasaran terbesar menyumbang 39.8% daripada jualan, diikuti China (25.6%), serta Asia Tenggara dan India (14.6%).

 

"Segmen 'mobility & wearables' terus menjadi penjana utama hasil Mi Technovation apabila naik kepada 71.6%, dipacu permintaan tinggi ke atas mesin pembungkusan semikonduktor," kata PublicInvest.

 

Prospek unit perniagaan bahan semikonduktor (SMBU) pula diperkukuh oleh peningkatan harga jualan purata (ASP), pertumbuhan jumlah jualan serta operasi kilang di Taiwa yang beroperasi penuh.

 

Kerugian VTBU dan STBU pula diunjur hanya RM35 juta, lebih kecil darioada unjuran awal RM56 juta hasil kawalan perbelanjaan yang lebih berhemat serta peningkatan jualan sistem rangkaian tenaga.

 

Sehubungan itu, PublicInvest berpandangan pengembangan margin keuntungan, peningkatan penggunaan kapasiti kilang, dan pertumbuhan jualan produk bernilai tambah akan menyokong Mi Technovation.

 

"Kemajuan berterusan VTBU dan STBU akan menjadi pemacu utama prestasi dalam tempoh dua tahun akan datang, serta menjana potensi syarikat mencatat rekod keuntungan baharu," katanya. - DagangNews.com