Mi Technovation berhasrat susun semula anak syarikat di China dan Korea, agihkan semula sebahagian sumber ke Malaysia - PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mi Technovation berhasrat susun semula anak syarikat di China dan Korea, agihkan semula sebahagian sumber ke Malaysia - PublicInvest

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Feb - Mi Technovation Bhd berhasrat untuk membuat penyusunan semula anak syarikatnya di China dan Korea dengan mengagihkan semula beberapa sumber ke Malaysia, kata Public Investment Bank Bhd (PublicInvest).

 

Katanya, Mi Korea menyaksikan kerugian meningkat daripada RM8.9 juta kepada RM10.5 juta manakala Equipment China mengalami kerugian kecil sebanyak RM800,000.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bagi setahun penuh, kumpulan itu menghantar sejumlah 114 jentera dengan Siri Mi & Vi membentuk 73% (83 unit) diikuti oleh Siri Si' 17% (20 unit) dan Siri Ai' 10% (11 unit).

 

"Perniagaan peralatan di Bawah segmen perniagaan peralatan semikonduktor (SEBU), mereka mencatatkan untung bersih sebanyak RM39.1 juta diterajui Mi Equipment Malaysia (RM48.9 juta) dan Mi Equipment Taiwan Singapura & AS (RM1.4 juta).

 

"Bagi perniagaan material di bawah segmen perniagaan bahan semikonduktor (SMBU), mereka mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM42.2 juta, diterajui Accurus Taiwan (RM53.9 juta), sebahagiannya diimbangi kerugian di Accurus China (RM9.8 juta) dan Accurus Singapura (RM1.8 juta)," katanya dalam atu nota kajian.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu pada 4QFY24 meningkat 76.81% kepada RM20.9 juta daripada RM11.82 juta setahun sebelumnya, dipacu perolehan lebih tinggi dan keuntungan pertukaran mata wang asing daripada pengukuhan dolar AS berbanding ringgit.

 

Hasil suku tahunan meningkat 15.33% kepada RM111.43 juta daripada RM96.62 juta pada 4QFY23, didorong prestasi kukuh daripada SEBU dan SMBU.

 

PublicInvest berkata, dari segi penghantaran melalui aloi, produk SAC105, SAC305 dan SAC405 konvensional secara kolektif membentuk 37.4%, manakala produk bebola pateri iSAC bersaiz kecil menyumbang 16.3%.

 

Segmen baharu, SSBU, mencatatkan kerugian RM3.7 juta, terkesan oleh MiSE Malaysia (RM800,000) dan MiSE Hangzhou (RM5.8 juta), sebahagiannya diimbangi MiSE Singapura (RM1.4 juta) dan MiSE Ningbo (RM1.5 juta) kerana ia terus mengembangkan jumlah pekerjanya untuk perniagaan modul kuasa di bawah SSBU.

 

"Buku pesanan tertunggak berjumlah AS$57.3 juta. Pengurusan mengetepikan perbelanjaan modal yang lebih besar sebanyak RM90 juta tahun ini untuk menembusi perniagaan modul kuasa di bawah SSBU kerana ia merancang untuk melancarkan prototaip menjelang pertengahan tahun.

 

"Produk yang terdapat dalam barisan ialah unit kawalan motor, modul pengagihan kuasa, transistor bipolar bertebat (IGBT) dan silikon karbida (SiC)," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) RM2.92 sesaham. - DagangNews.com