KUALA LUMPUR 22 Mei — Meta Bright Group Berhad meneroka peluang kerjasama dengan ChargeHere EV Solution Sdn Bhd dalam usaha pembangunan ekosistem kenderaan elektrik (EV) yang semakin berkembang pesat di Malaysia.
Langkah baharu tersebut berikutan ChargeHere, yang beroperasi di bawah jenama ChargeSini, memegang kehadiran pasaran tempatan begitu baik dengan memiliki sejumlah 935 pam pengecasan EV di 300 stesen di seluruh negara.
Pada masa ini, sebanyak 734 pam beroperasi dan diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga, bagi memberi perkhidmatan kepada lebih 32,000 pengguna aktif dengan stesen pengecasan terdapat di pusat beli-belah, hotel dan kondominium.
"Perkongsian ini menekankan komitmen kami mengembangkan perniagaan berkaitan tenaga, terutama segmen infrastruktur EV, selaras dengan matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)," kata Meta Bright dalam kenyataan.
Kedua-dua pihak jelasnya, akan turut bersama-sama dalam menilai penjajaran komersial serta strategik untuk memanfaatkan gabungan kepakaran masing-masing yang meliputi segala aspek rumusan tenaga dan EV.
Pengarah Eksekutif Perancangan Korporat dan Strategik Meta Bright, Derek Phang berkata, perkongsian itu juga menandakan langkah penting ke hadapan apabila ia mempelbagaikan pasaran pesat dalam pengecasan EV.
Beliau berkata kerjasama itu turut menyediakan asas kukuh untuk mereka berpotensi mewujudkan aliran hasil berulang secara ketara serta memanfaatkan kehadiran pasaran luas dan keupayaan teknikal ChargeHere.
"Kami percaya kerjasama ini mempercepatkan objektif ESG dan memacu keuntungan jangka panjang secara mampan serta membuka pelbagai jalan termasuk perkongsian teknologi, pembangunan projek dan penembusan pasaran infrastruktur EV," tambahnya.
Meta Bright dan ChargeHere kata Derek, akan bersama-sama melaksanakan penilaian awal, bertukar maklumat dan mengenal pasti projek yang berpotensi untuk mewujudkan struktur perkongsian lebih konkrit. - DagangNews.com








