PUTRAJAYA 2 Julai – Isu pelantikan Ketua Hakim Negara baharu susulan persaraan Tun Tengku Maimun Tuan Mat semalam (1 Julai) telah dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet pagi tadi.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, namun perbincangannya tidak menyeluruh.
"Kami ada membincangkan pelantikan Ketua Hakim Negara, tetapi tidak secara mendalam.
"Fokus utama mesyuarat adalah berhubung kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu ini semasa perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri dua hari lalu," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet.
Sebelum ini, Anwar menjelaskan sebarang lanjutan perkhidmatan penjawat awam, termasuk hakim-hakim tertinggi, tidak dibuat secara automatik dan mesti mematuhi prosedur mengikut Perlembagaan Persekutuan.
"Ada prosedur yang perlu dipatuhi apabila seseorang mencapai umur persaraan. Tempoh perkhidmatan mereka bukan dilanjutkan secara automatik. Dalam kes (lanjutan perkhidmatan Tun Maimun), saya telah dikritik," kata Anwar ketika itu.
Anwar turut menegaskan beliau tidak campur tangan dalam urusan kehakiman, termasuk pelantikan hakim atau keputusan mahkamah. - DagangNews.com








