Mesiniaga peroleh kontrak sistem pencen baharu KWAP bernilai RM148 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mesiniaga peroleh kontrak sistem pencen baharu KWAP bernilai RM148 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Julai — Mesiniaga Berhad memperoleh kontrak daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] untuk pelaksanaan sistem pencen baharu (NPS) yang bernilai RM148 juta.


Kumpulan perkhidmatan teknologi maklumat tersebut berkata, ia melibatkan kerja-kerja pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian dan pentauliahan sistem terkini itu di agensi berkenaan.


Katanya, surat penganugerahan tender tersebut diterima pada 3 Julai 2025 dengan termasuk pakej sokongan dan penyelenggaraan pilihan sebanyak RM64.5 juta meliputi tahun kelima hingga kelapan.


"Projek ini perlu disiapkan menjelang Julai 2028 dengan pakej sokongan dan penyelenggaraan pilihan yang kena selesai pada Julai 2033," kata Mesiniaga dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.


Syarikat berkenaan menambah, tiada klausa pembaharuan automatik dalam kontrak itu dengan risiko yang berkaitan komitmen pelaksanaan biasa, dan akan ditangani oleh kumpulan tersebut sewajarnya.


Tambahnya, tiada pengarah, pemegang saham besar atau mana-mana individu yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak, dalam kontrak itu.


Lembaga Pengarah Mesiniaga berpendapat bahawa kontrak tersebut adalah dalam perjalanan perniagaan biasa dan demi kepentingan terbaik syarikat tanpa menjejaskan modal saham atau pegangan sahamnya.


"Ia dijangka menyumbang secara positif kepada perolehan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dan seterusnya sehingga kontrak selesai," katanya. - DagangNews.com