Menzies Aviation fokus perkhidmatan pengendalian darat dan kemudahan di KLIA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Menzies Aviation fokus perkhidmatan pengendalian darat dan kemudahan di KLIA

Gambar/FB Menzies Aviation Official
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 6 Mac - Menzies Aviation Ltd memfokuskan strategi pertumbuhan di Malaysia melalui anak syarikatnya, Menzies Aviation (M) Sdn Bhd (MAMSB), dengan memberi tumpuan kepada peningkatan perkhidmatan pengendalian darat dan kemudahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

 

Syarikat itu memperoleh lesen pengendalian darat daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), berkuat kuasa 1 November 2024.

 

Kehadiran MAMSB adalah hasil daripada usaha sama strategik dengan MMAG Sky Services Sdn Bhd, yang membawa amalan terbaik antarabangsa kepada pemain industri tempatan.

 

Menzies Aviation juga menjalin perkongsian strategik dengan syarikat penerbangan dan logistik tempatan untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan daya saing serta menyediakan latihan dan kemahiran kepada bakat tempatan bagi memastikan mereka dilengkapi dengan pengetahuan industri terkini.

 

Syarikat turut mengalakkan kelestarian seiring aspirasi teknologi hijau Malaysia melalui penggunaan automasi yang cekap tenaga dan rumusan mesra alam.

 

Perkongsian antara MAMSB dan MMAG Sky Services menggambarkan kejayaan kerjasama global-tempatan dalam memajukan sektor penerbangan Malaysia.

 

Pengurus Besar MAMSB, Mokhtar Othman menekankan dedikasi syarikat terhadap kecemerlangan dan kerjasama dengan pihak berkepentingan tempatan.

 

"Pengembangan Menzies Aviation ke Kuala Lumpur adalah hasil perancangan teliti dan perkongsian rapat dengan pihak berkuasa penerbangan utama, termasuk Malaysia Airports Holdings Bhd, Jabatan Penerbangan Awam Malaysia dan Mavcom.

 

"Kerjasama ini memainkan peranan penting dalam meletakkan KLIA sebagai antara lapangan terbang terkemuka di rantau ini," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran MAMSB di sini baru-baru ini.

 

Acara itu turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. 

 

Loke berkata, objektif Menzies Aviation di Malaysia tertumpu kepada inisiatif utama, termasuk mengukuhkan Malaysia sebagai hab penerbangan serantau dengan menyepadukan teknologi maju dan amalan terbaik antarabangsa.

 

Beliau turut menyebut inisiatif lain seperti pembangunan kemudahan bertaraf dunia melalui pelaksanaan automasi dalam pengendalian kargo dan pemantauan masa nyata bagi meningkatkan kecekapan lapangan terbang.

 

Beliau pada masa sama memuji komitmen MAMSB terhadap prinsip persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG), terutamanya melalui pengenalan peralatan sokongan darat elektrik.

 

Tambah Loke, walaupun kemasukan Menzies Aviation ke Malaysia menandakan pencapaian penting, tiada isu besar dalam ekosistem pengendalian darat sedia ada, sebaliknya, kehadiran syarikat itu memperkenalkan kepakaran dan inovasi global ke sektor tersebut.

 

Menzies Aviation yang ditubuhkan pada tahun 1833, kini dikenali global, beroperasi di lebih 265 lapangan terbang di 55 negara dan memberi perkhidmatan kepada lebih 500 pelanggan.

 

Ia mengkhusus dalam pengendalian darat, pengurusan pesawat dan perkhidmatan kargo, dengan komitmen yang kuat untuk meningkatkan keselamatan, kecekapan dan kebolehpercayaan dalam operasi penerbangan, sementara MAMSB lebih fokus kepada pengendalian darat kargo.

 

Berbeza dengan syarikat penerbangan penumpang yang mempunyai penyedia perkhidmatan pengendalian darat seperti AirAsia dan Malaysia Airlines, perkhidmatan MAMSB khusus untuk pengendali kargo. - DagangNews.com