MENGINGATI WANITA LEGENDA: Bersempena sambutan sedunia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MENGINGATI WANITA LEGENDA: Bersempena sambutan sedunia

Oleh NINOT AZIZ

Bersempena Hari Wanita Sedunia baru-baru ini, kita terus menghayati keberanian dań jati diri pemimpin, srikandi, pemikir serta penggerak budaya dari zaman silam.

 

Kita ambil sejenak waktu untuk merenungi kelestarian dań warisan dari tokoh hebat seperti Arduga Wijamalai, Tun Fatimah, Che Siti Wan Kembang, Tengku Mariam Pahang peneraju Gamelan Melayu dań Hajah Khadijah Awang yang mempertahankan seni Makyong.

 

Minggu ini kita teruskan lagi penceritaan Siti Zubaidah dari minogu lepas, kerana Siti Zubaidah juga seorang tokoh legenda yang kisahnya disemadikan dałam syair.

 

SITI ZUBAIDAH PERANG CHINA

Sultan Zainal Abidin telah belayar ke Peringgi demi mencari puteri impiannya. Suara merdu telah terdengar di rumah Pendita Alam. Lalu, temannya Jaafar Sidiq mencadangkan, Siti Raudhiah dan dayang-dayang lain minta kebenaran mandi di telaga di pulau.

 

Sultan Zainal Abidin turut serta menyamar sebagai budak air kepada Siti Raudhiah. Ini akan memberi peluang melihat gadis bersuara merdu itu. 

 

Apabila Siti Raudhiah sampai ke rumah Pendita Alam itu, beliau terus di sambut mesra oleh Siti Zubaidah. Siti Raudhiah pun hairan melihat kejelitaan Siti Zubaidah. Bak bulan dipagar bintang. Sebaik saja berkata-kata, Zainal Abidin pun camlah suaranya yang kedengaran malam sebelumnya. 

 

Zainal Abidin yang memakai baju compang camping, muka bersapu arang itu terpesona sampai terjatuh bekas air yang dibawa. Siti Raudhiah terus berkata, “Maafkan budak air ni Adinda. Dia kurang cerdik sikit. Ibunya dah tiada, dia seorang diri je di dunia ini.”

 

Siti Raudhiah terus menjual pantun dan disambut oleh Siti Zubaidah:

Buah pedada dalam baldi, 
Masak nasi hari petang; 
Hidup kita biar berbudi, 
Hingga mati dikenang orang. 

Bunga pandan jauh ke tengah, 
Pulau Sari bercabang dua; 
Buruk badan dikandung tanah, 
Budi baik dikenang juga. 

 

Hanyutlah perasaan Zainal Abidin mendengar semua itu. Ini adalah wanita impiannya. Siti Zubaidah, puteri Pendita Alam rupanya. 

 

Tanpa ragu-ragu lagi, pada keesokan hari, Zainal Abidin  membuka kata di rumah Pendita Alam, melamar bunga di perkarangan rumah Pendita. 

 

Pendita pun berkata, “Sekilas ikan di kali, ayahanda dah tahu isi hati anakanda.  Kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan. Namun, anakanda mestilah berterus terang dengan ayahanda. Hanya jauhari mengenal manikam. Siapakah anakanda sebenarnya?”


 

hikayat


 

Akhirnya, di Peringgi, Sultan Zainal Abidin dan Siti Zubaidah selamat diijab-kabulkan. Maka, setelah bersalaman peluk cium bersama ayahanda Pendita Alam, sauhpun diangkat dan layar dilabuhkan sebaik sahaja kapal meluncur menangkap angin.  Perjalanan pulang dati Pulau Peringgi ke Kembayat Negara penuh dengan kegembiraan. 

 

Namun, sekembalinya ke Kembayat Negara, Sultan terkejut melihat negerinya dilanggar bala tentera China. Rosak binasa negerinya. Bertempiaran rakyatnya. Kubu masih bertahan bagai telur di hujung tanduk. 

 

Rupanya memang ada desas desus perancangan Cincu Wangkang yang dihukum memanggil Maharaja China menakluk Kembayat Nagara itu. 

Gajah berlawan gajah
Kuda menendang kuda
Lembing melayang di udara
Keris bertikam-tikaman
Pahlawan gugur di pusara

 

Sultan Zainal Abidin, Jaafar Siddiq, Umar Baki, Abdullah Sani dan Muhammad Muhiyuddin menyelinap masuk ke kota besar secara rahsia. Malam itu Raja Darman Syah menceritakan kejadian menyelubungi peristiwa bersama Cincu Wangkang. 

 

Sultan Zainal Abidin bertitah, “Kerajaan beta tidak menyerah kalah.”

 

Namun, selepas sebulan pertempuran sengit, kubu Kembayat pun tertawan. Zainal Abidin dan empat kawan-kawannya telah diambil tawanan dan dibawa ke China, meninggalkan negara dalam keadaan kecewa,  dan raja lama dan ratu berputus asa. 

 

Di China, Kilan Chahaya dan Kilan Syamsu, menyoal-siasat raja. Untuk memastikan kesetiaan Kembayat Negara, Sultan Zainal Abidin diperintahkan untuk berkahwin waris maharaja yang telah meninggal dunia. Beliau enggan, dan ini memalukan Kilan Chahaya, kerana diam-diam Maharani itu telah jatuh cinta kepada raja yang berani dan tampan. 
 

Dengan itu, dijatuhi hukuman lima dipenjarakan di penjara perigi beracun yang durjana.


 

hikayat

 

Siti Zubaidah, bertekad untuk mencari Sultan apabila dia mendengar bahawa Sultan Zainal Abidin telah diambil sebagai tawanan. Dengan itu, Siti Zubaidah mengembara jauh ke dalam hutan di mana dia bertemu dengan seorang gadis muda yang cantik bestari.

 

Puteri Rukiah nama diberi adalah seorang puteri Yunan. Puteri juga mengembara belajar seni peperangan dan pertempuran kemahiran daripada adiguru lama. Puteri Rukiah pula kisahnya telah dikhianati dan disingkirkan oleh abangnya sendiri dari istana kerana hasad dengki ketika bapa mereka meninggal dunia. 

 

Kedua puteri membuat perjanjian untuk membantu antara satu sama lain supaya berjaya menakluk semula tanahair tercinta.  Siti Zubaidah pun belajar bersama Rukiah dalam seni silat seni jampi seni ghaib seni halus'. Apabila mereka telah mempelajari segala ilmu, kedua-dua pahlawan srikandi terus menuju ke Benua China. 

 

 

hikayat

 

 

Di China, Siti Zubaidah dan Puteri Rokiah menyamar diri mereka sebagai penari mahkamah Syahar Pahlawan dan Nahar. Di mana-mana mereka pergi, ada pengikut yang besar, orang terpesona dengan penampilan kacak dan tarian anggun.

 

Tidak lama kemudian, Perdana Menteri mendengar kemasyhuran mereka dan membawa mereka ke istana. Tujuh puteri serta-merta tertarik dengan dua puan-puan muda. Setiap hari, mereka merayu supaya keduanya membuat persembahan di istana.

 

Setiap hari Syahar dan Nahar cuba mendapatkan maklumat tentang Raja Kembayat Nagara di negeri China itu. Namun tiada sesiapa yang menyebut, tiada siapa yang ternampak. Akhirnya terbocor rahsia apabila dua orang dayang berbual di tepi panggung.

 

Seorang dayang mengatakan Maharani marah, namun bermuram durja bercampur kesal setiap hari. 

Tidak lalu makan. 
Tidak mahu tidur. 
Bercinta lagunya

 

Lalu dayang yang lebih tua memberitahu, Maharani sudah dilamun penyakit angau, menyesal mengurung Sultan yang dicintai di perigi beracun. 

 

Siti Zubaidah yakin Sultan yang dimaksudkan itu suaminya Sultan Zainal Abidin. Siapa lagi kalau bukan raja ditakhta hatinya? Dengan segera, Siti Zubaidah mencari Puteri Rukiah untuk bersiap menyelamatkan Sultan.

 

Pada malam harinya, mereka membawa lima ekor kuda ke kawasan perigi beracun itu. Asap beracun bagai kabus.  Terlampau kuat bau racunnya, kuda-kuda tidak mahu meneruskan perjalanan. Siti Zubaidah yang masih menyamar sebagai Syahar Pahlawan tekadkan hati untuk memasuki kawasan perigi. 

 

Syahar Pahlawan membaca ayat-ayat melindungi dirinya dari bahaya racun itu. Akhirnya, terlihat olehnya lima orang duduk terlepok di lantai telaga tidak berdaya.  Syahar berjaya mengeluarkan seorang demi seorang dari telaga. 

 

Diberinya air penawar.

Minum seteguk, sedar dari khayalan
Minum seteguk lagi, segar tubuh badan
Seteguk lagi, segak berdiri tampan

 

Sultan Zainal Abidin seperti tidak percaya ada yang sanggup datang menyelamatkannya. Syahar Pahlawan dan Nahar Bestari mendahului rombongan kecil keluar negeri ke arah Yunan.

 

 

hikayat

 

 

Maharani Kilan Chahaya mengamuk di istana, memanggil Kilan Syamsu dengan segera. Berita kelima tawanannya lepas dari perigi menggoncang istana. Keenam puteri China bergegas disambut Maharani yang begitu marah. Bagaimana Sultan Kembayat Nagara dan rakan-rakannya dapat melepaskan diri?

 

Kawasan larangan perigi beracun begitu bahaya, sesiapa terhidu benteng racun pertama pasti terus menempah maut. 

 

Pada waktu itu, pengawal istana pun sampai memberitahu lima ekor kuda hilang dari bangsal di Raja. Dua ekor kuda yang dihadiahkan kepada Syahar Pahlawan dan Nahar Bestari juga tiada lagi di bangsal.

 

Sedarlah Maharani bahawa sahlah Syahar Pahlawan ini telah memperdayakan mereka semua. Lalu dikerah panglima tentera terhandal cuba menurut kesemua yang lari melepaskan Sultan Zainal Abidin. Namun semuanya telah ghaib, usahkan tapaknya terlihat, bau dan bayang pun tidak dapat dijejaki langsung.

 

 

 

hikayat

 

 

Sampai saja di negeri Yunan, negara sedang muram durja kerana Rajanya baru mangkat dan adinda puteri entah ke mana. Tiba-tiba sampailah rombongan Syahar Pahlawan ke Yunan.

 

Terus Puteri Rukiah menyalin pakaian kebesaran dan bertemu Memanda Menteri. Menangislah Menteri yang uzur itu melihat puteri kesayangan dan terus mengumumkan Puteri Rukiah sebagai Ratu memerintah negeri. 

 

Ratu Yunan menerima baik rombongan Syahar Pahlawan dan menggesa semua sekutu untuk membalas dendam kepada Maharani China kerana menghukum Raja Kembayat Negara dengan kejam. Dihantarnya utusan serata negeri, memanggil semua kerajaan sekutu Yunan bergerak menentang Maharani China.

 

Raja yang besar delapan kepala
Raja yang kecil berpuluh pula
Menteri hulubalang pahlawan segala
Datang hendak mencari bela

 

Maharani Kilan Chahaya masih marah dan dengan angkuh menghantar tentera beliau untuk mengalahkan bala tentera menyerang. Kali ini bagaimanapun, angkatan tentera bersekutu diketuai Ratu Yunan, Sultan Zainal Abidin dan Syahar Pahlawan terbukti terlalu kuat untuk China.  Ramai tentera yang gugur dan Kilan Syamsu, yang gah penuh kesaktian itu pun gagal menundukkan lawan. 

 

Dengan kejatuhan China, Zainal Abidin menawarkan kedamaian. Maharani China, yang sesungguhnya menghormati keluhuran dan keimanan Sultan Zainal Abidin, bersetuju. Dengan itu, Sultan Zainal Abidin pun berterimakasih kepada Ratu Yunan dan semua raja-raja yang membantu. Keamanan yang berpanjangan pun tiba di dunia timur. 

 

Bersama Syahar Pahlawan, Sultan Zainal Abidin pun pulang ke Kembayat Nagara. Oleh kerana tidak ada keperluan berahsia  lagi. Sebelum sampai ke negara tercinta, Syahar Pahlawan mengakui dirinya sebagai Siti Zubaidah. Bertangisan semuanya tanda silaturrahim abadi. Setelah kembali ke Kembayat Negara, Zainal Abidin mengetuai rombongan besar sehingga Darman Syah amat terkejut, ingatkan satu lagi serangan dari China menimpa negaranya. 

 

Betapa gembira melihat anakandanya Sultan Zainal Abidin kembali sihat wal’afiat bersama Siti Zubaidah di sisi dan penuh kehormatan membawa tentera pengiring berbilang bangsa.

 

Siti Zubaidah yang berani dan bijak telah diisytiharkan Ratu Kembayat bersama Sultan Zainal Abidin. Untuk sepanjang hayat, keduanya memerintah dengan bijak, mengekalkan kebahagiaan dalam rumah tangga dan hidup aman damai selamanya.

 

Tamatlah Syair Siti Zubaidah 
Kepada Hijrah Nabi berpindah 
Seribu Tiga Ratus empat puluh Tiga hijrah 
Bulan Rejab Berhenti madah 

Sudah membaca kisah diingatkan 
Supaya boleh tuan iktibarkan ... 

 

Di sini kita sampai ke akhir sajak, supaya cerita yang indah boleh diingati untuk selama-lamanya, mengubati hati yang gundah. - DagangNews.com

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Negara 2025/2026 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA