Menara Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi benarkan bicara saman RM1 bilion terhadap kerajaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Menara Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi benarkan bicara saman RM1 bilion terhadap kerajaan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 Julai — Mahkamah Tinggi memutuskan untuk meneruskan perbicaraan kes saman sebanyak RM1 bilion dikemukakan Hydroshoppe Sdn Bhd dan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB).

 

Keputusan tersebut membolehkan prosiding terhadap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan kerajaan Malaysia berhubung penamatan secara kontroversi konsesi menara telekomunikasi ikonik itu dibicarakan.

 

Hakim Roz Mawar Rozain memutuskan terdapat isu dalam tuntutan Hydroshoppe dan MKLSB ke atas kerajaan dan menteri bertanggungjawab serta perlu didengar dalam perbicaraan terbuka dengan bukti lisan.

 

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tiga syarikat konsesi menara iaitu LSH Service Master Sdn Bhd, LSH Best Builders Sdn Bhd, dan Service Master (M) Sdn Bhd dikecualikan daripada kes saman berkenaan.

 

Beliau mendapati, Hydroshoppe dan MKLSB tidak menyatakan dengan jelas yang ketiga-tiga defendan tersebut telah memang melanggar kontrak, bantuan tidak jujur, atau menerima wang secara salah.

 

 

KL

 

 

Kata beliau, walaupun Hydroshoppe dan MKLSB kemudian cuba meminda tuntutan, mereka masih lagi gagal untuk menyatakan dengan jelas berhubung isu yang dikemukakan terhadap tiga syarikat berkenaan.

 

“Atas sebab-sebab ini, mahkamah membenarkan permohonan daripada ketiga-tiga defendan tersebut membatalkan saman yang telah dikemukakan oleh Hydroshoppe dan MKLSB,” kata Roz Mawar.

 

Seterusnya, hakim berkenaan turut telah mengarahkan Hydroshoppe dan MKLSB untuk membayar pula kos perbicaraan sebanyak RM20,000 kepada tiga syarikat tersebut.

 

Mahkamah kemudian menetapkan 3 November 2025 untuk pengurusan kes dalam saman Hydroshoppe dan MKLSB terhadap kerajaan dan Fahmi. - DagangNews.com