KUALA LUMPUR 22 Julai - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan terhadap seorang pengguna aplikasi TikTok yang disyaki memuat naik dua kandungan berunsur palsu dan jelik melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kandungan itu dipercayai dimuat naik sebagai reaksi isu berhubung pesta tidak bermoral di dalam negara serta kenyataan rasmi Perdana Menteri mengenai pemberian insentif penghargaan kepada rakyat.
Dalam satu lagi hantaran berasingan kata MCMC, individu terbabit turut disyaki membuat tuduhan yang bersifat palsu dan jelik secara melampau berhubung lawatan rasmi Perdana Menteri ke luar negara.
"Bagi membantu siasatan, MCMC telah merakam keterangan individu terbabit di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya, Selangor pada 21 Julai 2025," kata suruhanjaya tersebut dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah MCMC, turut disita ialah satu unit telefon bimbit dan satu kad SIM bagi membantu siasatan dengan kes itu disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
Ia memperuntukkan hukuman denda maksimum sebanyak RM500,000 atau penjara sehingga tidak lebih daripada tempoh dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
MCMC menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan platform media sosial untuk penyebaran kandungan jelik melampau atau tuduhan tidak berasas.
"Tindakan tegas akan terus diambil oleh MCMC demi memelihara ketenteraman awam dan keharmonian negara," kata suruhanjaya tersebut. - DagangNews.com








