MCMC rakam keterangan dua lelaki didakwa persenda Negaraku | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MCMC rakam keterangan dua lelaki didakwa persenda Negaraku

Oleh JOHARDY IBRAHIM

CYBERJAYA 13 Ogos - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam keterangan dua individu bagi membantu siasatan berhubung penyiaran satu video di media sosial yang didakwa memaparkan nyanyian dalam bentuk mempersenda dan tidak menghormati lagu kebangsaan, “Negaraku”.

 

Sesi rakaman keterangan telah dijalankan di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya pada 12 Ogos 2025. Sebanyak satu unit telefon bimbit dan satu keping kad SIM telah disita bagi tujuan siasatan.

 

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

 

 

MCMC

 

 

MCMC tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mempersenda atau mempelekeh lagu kebangsaan, selaras dengan Seksyen 8 Akta Lagu Kebangsaan 1968 yang menetapkan kewajipan menghormati lagu tersebut oleh setiap warganegara.

 

Orang ramai diingatkan untuk sentiasa menghormati lagu Negaraku sebagai tanda kesetiaan dan cinta kepada tanah air, serta mengelak daripada melakukan atau menyebarkan apa-apa perbuatan yang boleh dianggap tidak menghormati lagu kebangsaan.  - DagangNews.com