MCMC bangunkan 10 perundangan lindungi kanak-kanak dalam talian | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MCMC bangunkan 10 perundangan lindungi kanak-kanak dalam talian

KUALA LUMPUR 4 Dis - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang membangunkan 10 perundangan subsidiari di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) yang memfokus kepada isu berkaitan perlindungan kanak-kanak dalam talian, termasuk memastikan kandungan yang dipaparkan adalah bersesuaian dengan peringkat umur pengguna kanak-kanak.

 

Kementerian Komunikasi dalam jawapan bertulis di laman rasmi Parlimen memaklumkan bahawa di bawah perundangan subsidiari tersebut, pemberi perkhidmatan bertanggungjawab memastikan platform mereka tidak boleh diakses oleh pengguna berusia di bawah 16 tahun.

 

Mereka juga diwajibkan memastikan kandungan yang ditawarkan kepada pengguna berusia di bawah 18 tahun adalah sesuai dengan tahap umur masing-masing.

 

Selain itu, pemberi perkhidmatan perlu menyediakan pilihan tetapan dan kawalan ibu bapa yang selaras dengan garis panduan komuniti atau terma penggunaan platform mereka.

 

Penjelasan itu diberikan sebagai jawapan kepada pertanyaan Pang Hok Liong (PH–Labis), yang ingin mengetahui kesediaan Kementerian Komunikasi untuk menggubal undang-undang bagi menyekat atau melarang remaja di bawah 16 tahun daripada menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok.

 

Bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti penyedia platform dalam memenuhi obligasi keselamatan dalam talian, kementerian menjelaskan bahawa pemberi perkhidmatan dikehendaki menyediakan pelan keselamatan dalam talian yang menjelaskan pematuhan mereka terhadap kewajipan di bawah Akta 866.

 

Dalam masa yang sama, beberapa undang-undang berkaitan telah pun digubal dan dilaksanakan, termasuk penguatkuasaan keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang memenuhi syarat untuk memohon serta mendapatkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

 

Langkah pelesenan ini bertujuan memastikan setiap penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang tertakluk kepada keperluan pelesenan bertanggungjawab dari segi kawal selia kandungan serta pengurusan algoritma mereka.

 

Menurut kenyataan itu, MCMC turut menerbitkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet dan Penyedia Perkhidmatan Media Sosial sebagai sokongan kepada kerangka pelesenan tersebut.

 

Kod itu menggariskan tanggungjawab penyedia platform dalam melindungi kanak-kanak dan remaja daripada kandungan memudaratkan, termasuk pelaksanaan langkah pengesahan umur, penyediaan tetapan kawalan ibu bapa yang efektif serta memperkasa fungsi keselamatan bagi membolehkan pengguna kanak-kanak melindungi diri mereka sendiri.

 

Selain itu, kerajaan menggubal Akta 866 bagi mengawal selia kandungan memudaratkan serta memperincikan kewajipan dan tanggungjawab ke atas pemberi perkhidmatan aplikasi, pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan dan penyedia perkhidmatan rangkaian yang dilesenkan. - BERNAMA