MBSB Research kekal saranan `Beli' saham Padini, isu akaun dibeku SPRM dilihat hanya tekanan sentimen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MBSB Research kekal saranan `Beli' saham Padini, isu akaun dibeku SPRM dilihat hanya tekanan sentimen

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 27 April - MBSB Research mengekalkan saranan Beli terhadap Padini Holdings Bhd dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM2.13 sesaham, sambil menyifatkan isu pembekuan beberapa akaun syarikat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai tekanan sentimen jangka pendek dan bukannya masalah asas operasi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, penilaian tersebut dibuat berdasarkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) tahun kewangan 2026 sebanyak 14.2 sen yang dipadankan dengan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 15 kali.

 

Menurutnya, walaupun tindakan pembekuan beberapa akaun syarikat dan subsidiari oleh SPRM mungkin memberi kesan kepada sentimen pasaran dalam tempoh terdekat, perkembangan itu dilihat lebih kepada sentimen negatif berbanding isu fundamental syarikat ketika ini.

 

Katanya, berdasarkan pendedahan terkini pihak pengurusan, akaun yang terlibat tidak digunakan secara aktif bagi operasi harian, kemudahan perbankan syarikat masih tersedia, dan tiada gangguan material dijangka berlaku terhadap kedudukan kewangan mahupun operasi kumpulan.

 

Pada peringkat ini, MBSB Research berpandangan perkembangan tersebut lebih merupakan risiko sentimen jangka pendek memandangkan pendedahan maklumat berhubung siasatan masih terhad serta potensi turun naik tajuk berita sehingga penjelasan lanjut diperoleh.

 

Bagaimanapun, selagi tiada bukti gangguan operasi atau dakwaan langsung terhadap syarikat, firma penyelidikan itu tidak menjangkakan sebarang kesan segera ke atas pendapatan Padini.

 

Menurutnya, pihaknya terus menyukai Padini berikutan kedudukan nilai yang kukuh, portfolio jenama yang pelbagai serta lembaran imbangan yang berdaya tahan, sekali gus diyakini mampu membantu syarikat mengharungi ketidaktentuan jangka pendek.

 

Padini lancar semakan dalaman

Sementara itu, Padini dalam SATU kenyataan memaklumkan bahawa syarikat telah melancarkan semakan dalaman susulan tindakan SPRM membekukan beberapa akaun bank dikenal pasti milik syarikat dan anak-anak syarikatnya.

 

Menurut Padini, berdasarkan maklumat semasa yang diperoleh, perintah pembekuan itu dikeluarkan SPRM berkaitan siasatan yang sedang berjalan membabitkan beberapa rakan niaga luar kumpulan yang bukan terdiri daripada pekerja, pegawai atau pihak pengurusan syarikat.

 

Syarikat itu menegaskan, setakat maklumat yang ada ketika ini, pihaknya tidak mengetahui sebarang dakwaan atau salah laku yang melibatkan syarikat dan memahami bahawa perintah pembekuan tersebut merupakan sebahagian daripada prosedur siasatan.

 

“Syarikat telah melantik penasihat guaman luar bagi menasihati kami berhubung perkara ini dan sedang mengambil langkah yang perlu, termasuk mendapatkan pelepasan sewajarnya bagi menyahbekukan akaun yang terjejas,” katanya.

 

Padini berkata, operasi harian kumpulan kekal berfungsi sepenuhnya tanpa sebarang gangguan, manakala urusan perniagaan diteruskan seperti biasa.

 

Tambahnya, syarikat akan memberikan maklumat lanjut dari semasa ke semasa sekiranya terdapat perkembangan material berhubung perkara berkenaan.

 

Jumaat lalu, syarikat itu menerusi makluman kepada Bursa Malaysia memaklumkan bahawa SPRM telah membekukan beberapa akaun bank dikenal pasti milik syarikat dan subsidiarinya berdasarkan perintah yang dikeluarkan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. - DagangNews.com