MBSB Bank peruntuk RM1 bilion pembiayaan tenaga solar, sokong transformasi RE negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MBSB Bank peruntuk RM1 bilion pembiayaan tenaga solar, sokong transformasi RE negara

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Okt - MBSB Bank Berhad menyediakan peruntukan khas sebanyak RM1 bilion bagi pembiayaan tenaga solar, dengan RM104 juta daripadanya kini dalam proses penyaluran kepada pelanggan.

 

Kumpulan itu berkata, langkah itu mengukuhkan peranan bank tersebut sebagai pemangkin dalam transformasi tenaga boleh diperbaharui (RE) Malaysia, seiring dengan matlamat yang digariskan di bawah Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR).

 

Ketua Pegawai Operasi MBSB Bank, Jesleigh Johari berkata, peruntukan RM1 bilion itu bertujuan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pemain industri untuk melabur dalam projek RE yang dapat mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon.

 

“Pembiayaan ini bukan sekadar sokongan kewangan, tetapi satu komitmen untuk memacu transformasi tenaga yang mampan dan inklusif. Melalui kerjasama strategik seperti dengan MPSEA (Persatuan Industri Fotovoltaik Malaysia), kami mahu melihat industri tempatan berkembang seiring dengan matlamat kelestarian negara,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Di bawah Rangka Kerja Pembiayaan Lestari dan Peralihan, MBSB Bank menyalurkan lebih RM4.7 bilion pembiayaan lestari — hampir separuh daripada sasaran RM10 bilion menjelang 2026.

 

mbsb

 

Bank itu turut menawarkan model pembiayaan bersama dengan Malaysian Industrial Development Finance (MIDF), yang memberi peluang kepada PKS untuk berkembang melalui kemudahan seperti Kemudahan Teknologi Tinggi & Hijau (HTG), semua sektor ekonomi (AES) dan Kemudahan Peralihan Karbon Rendah (LCTF).

 

Baru-baru ini, MBSB Bank mencapai kejayaan besar apabila memuktamadkan kemudahan pembiayaan Islam bernilai RM1.3 bilion kepada Cypark Resources Berhad.

 

Jesleigh berkata, transformasi sebenar hanya dapat dicapai melalui kerjasama dan perkongsian idea antara industri.

 

“Perkongsian kami dengan MPSEA mencerminkan visi bersama untuk membina Malaysia yang berdaya tahan, rendah karbon dan digerakkan oleh inovasi serta kewangan bertanggungjawab,” katanya.- DagangNews.com