KUALA LUMPUR 26 Mac — Isu lonjakan mendadak harga bahan binaan, tenaga dan logistik kini berisiko menjejaskan kesinambungan projek pembinaan serta kedudukan kewangan kontraktor yang terlibat.
Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) berkata, situasi itu sekali gus berisiko mencetuskan kebimbangan terhadap potensi kelewatan atau projek terbengkalai dalam industri pembinaan negara.
Sehubungan itu, Presidennya, Oliver Wee Hiang Chyn mendesak tindakan segera daripada kerajaan dan sektor swasta sendiri bagi meredakan tekanan kos yang semakin meruncing serta menekan kontraktor.
"Ketegangan geopolitik berterusan di Asia Barat mengganggu rantaian bekalan global, menyebabkan kenaikan harga input utama serta ketidaktentuan jadual penghantaran," katanya dalam kenyataan.
Perkembangan di rantau berkenaan jelas beliau, sekiranya terus berlarutan dalam tempoh yang lama, dibimbangi memberi tekanan kuat kepada aliran tunai kontraktor merentasi semua saiz syarikat.
Industri pembinaan tambah Wee, tidak meminta perlindungan semata-mata, sebaliknya mengharapkan kerjasama strategik bagi memastikan projek dapat diteruskan dan perniagaan kekal mampan.

Antara langkah yang dicadangkan MBAM ujarnya, termasuk pelepasan cukai sementara bagi perkhidmatan berkaitan pembinaan, subsidi diesel yang bersasar, pinjaman mudah serta skim jaminan kewangan.
"Selain itu, kami menggesa mekanisme variasi harga bagi bahan utama seperti keluli, simen dan bahan api, serta jaminan dasar fiskal baharu tidak dikenakan ke atas kontrak sedia ada," katanya.
Di samping itu, dalam usaha memastikan kesinambungan projek, MBAM mencadangkan agar syarat import dilonggarkan bagi memudahkan sumber alternatif, selain mempercepatkan kelulusan berkaitan.
Persatuan itu juga menekankan keperluan pengiktirafan lanjutan masa (EOT) akibat gangguan bekalan, pelepasan sementara terhadap denda kelewatan (LAD) serta semakan semula kontrak projek kerajaan.
Pada masa sama, MBAM menyeru pemaju dan klien sektor swasta lebih fleksibel dalam menyemak semula terma kontrak, berkongsi risiko secara adil serta memastikan bayaran dibuat tepat pada masanya.
"Pendekatan dialog dan kerjasama ketika ini dilihat begitu penting bagi mengekalkan tahap daya maju sesuatu projek pembinaan dalam keadaan pasaran yang dilihat semakin mencabar," jelas Wee.
Secara keseluruhan, MBAM menegaskan tanpa sokongan segera dan langkah mitigasi berkesan, tekanan kos boleh menjejaskan keseluruhan rantaian industri serta momentum pembangunan negara. - DagangNews.com








