Mayu Global peroleh semula 2 kenderaan mewah yang disita babitkan siasatan skim piramid MBI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mayu Global peroleh semula 2 kenderaan mewah yang disita babitkan siasatan skim piramid MBI

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Pihak polis melepaskan dua kereta mewah milik pengeluar produk keluli, Mayu Global Group Bhd yang sebelum ini disita sebagai sebahagian daripada siasatan berterusan terhadap skim piramid MBI.

 

Kumpulan itu berkata, kereta Mercedes Benz GLE 450 Coupe dan BMW 330LI yang disita telah dilepaskan di bawah bon pada 1 Ogos 2025, tertakluk kepada terma dan syarat yang dinyatakan dalam surat tawaran.

 

Katanya, di bawah Seksyen 52A Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, perintah penyitaan akan terhenti berkuat kuasa selepas 12 bulan dari tarikh perintah penyitaan tersebut.

 

“Lembaga pengarah akan terus memantau situasi ini dan akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat sebarang perkembangan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Akaun bank RM10.67 juta Mayu Global dibeku, dua kereta mewah dirampas siasatan pengubahan wang haram

 

Minggu lalu, Mayu Global memaklumkan,pihak polis telah melepaskan RM4.3 juta daripada akaun bank miliknya, namun RM6.4 juta masih dibekukan.

 

Akaun bank milik Mayu Global dan tujuh anak syarikatnya, berjumlah keseluruhan RM10.67 juta, telah dibekukan sejak 10 April lalu sebagai sebahagian daripada siasatan berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap skim piramid MBI yang telah lama berjalan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Siasatan PDRM: Mayu Global dapat balik RM4.3 juta, baki RM6.4 juta masih dibekukan

 

PDRM juga telah menahan pengarah eksekutif Mayu Global, Tan Kim Hee, pada 2 April lalu bagi membantu siasatan kes ini, namun beliau telah dibebaskan tanpa sebarang pertuduhan pada 7 April.

 

Kim Hee merupakan abang ipar kepada pengasas Kumpulan MBI, Tedy Teow Wooi Huat, dan juga bapa kepada pengarah eksekutif Mayu Global, Tan Qian Hui. 

 

Beliau juga merupakan pemegang saham utama syarikat tersebut dengan pegangan sebanyak 11.095% - DagangNews.com