KUALA LUMPUR 6 Feb — Capital A Berhad dijangka dapat keluar daripada status syarikat bermasalah di bawah nota amalan 17 (PN17) seawal Mei 2026, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Justeru firma tersebut menaikkan harga sasaran (TP) sesaham syarikat itu kepada 75 sen berbanding 69 sen sebelum ini, berikutan penambahbaikan ketara struktur kewangan dan pembukaan nilai aset.
Ia juga mengekalkan saranan 'beli' sambil berpandangan yang pembebasan daripada senarai PN17 akan menjadi pemangkin utama untuk membolehkan Capital A mampu mengumpul semula banyak modal baharu.
"Kami yakin kumpulan ini akan menyenaraikan anak-anak syarikat secara berasingan dan mengagihkan saham bukan tunai kepada pemegang sahamnya," kata Maybank IB dalam nota analisisnya hari ini.
Firma penyelidikan itu menambah, kumpulan berkenaan sudah melengkapkan pelan penstrukturan semula susulan pelupusan saham lima syarikat penerbangan kepada AirAsia X (AAX) pada 15 Januari 2026.
Langkah tersebut sekali gus menukarkan kedudukan ekuiti pemegang saham kumpulan kepada positif sekitar RM700 juta hingga RM800 juta, iaitu prasyarat utama untuk keluar daripada status PN17.
Sekiranya pengecualian keperluan dua suku berturut-turut keuntungan tidak diperoleh, Maybank IB menjangkakan Capital A tetap memenuhi kriteria dan bebas PN17 menjelang Mei atau Jun 2026.
"Selepas itu, kumpulan ini dijangka agresif mengumpul modal bagi mengembangkan perniagaan bukan penerbangan, antaranya Teleport yang meraih AS$50 juta (RM197 juta) pada Januari 2026," jelasnya.
Selain itu katanya, AirAsia MOVE, ADE dan AirAsia Next turut merancang pengumpulan dana dalam masa yang terdekat, manakala Capital A pula giat menilai potensi besar disenaraikan di Bursa Hong Kong.
Bagaimanapun Maybank IB menambah, kumpulan tersebut masih memiliki kira-kira 20% kepentingan dalam AAX, dengan pegangan saham dan waran yang dianggarkan sudah mencecah nilai lebih RM1.4 bilion.
Menurutnya, sebahagian daripada pegangan ini disifatkan berpotensi besar ditukar kepada dividen khas tunai, sama ada melalui penjualan kepada pihak ketiga atau pengagihan secara berperingkat.
"Meskipun unjuran keuntungan teras FY26 dan FY27 disemak turun masing-masing 78% dan 77% berikutan pemecahan perniagaan, kami menegaskan nilai intrinsik Capital A kini adalah lebih jelas," katanya.
Strategi kumpulan kini fokus kepada aset bukan penerbangan seperti ADE, AirAsia MOVE, Teleport, Santan dan AirAsia Next, yang menyokong kenaikan penilaian berasaskan jumlah bahagian. - DagangNews.com








