Maybank IB positif terhadap pertumbuhan hasil Optimax didorong peningkatan jumlah pembedahan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank IB positif terhadap pertumbuhan hasil Optimax didorong peningkatan jumlah pembedahan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Feb - Maybank Investment Bank (Maybank IB) kekal positif terhadap pertumbuhan hasil Optimax Holdings Bhd didorong peningkatan jumlah pembedahan, campuran kes yang lebih tinggi dan normalisasi kos pra operasi secara beransur-ansur. 

 

Firma penyelidikan itu, meramalkan jumlah pembedahan campuran terus meningkat sebanyak 18% pada FY25 dengan kebanyakan disokong permintaan keseluruhan yang lebih tinggi untuk penjagaan mata dan intensiti hasil yang lebih tinggi daripada campuran kes pembedahan biasa yang lebih sihat.

 

"Kami juga optimis dengan kelebihan pelancongan perubatan di wilayah selatan setelah siap pembinaan Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS) Link yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura.

 

"Bagaimanapun, kami kekal berhati-hati terhadap potensi kelewatan operasi hospital mata yang sedang dalam pembinaan.

 

"Permulaan operasi pusat jagaan ambulatori (ACC), terbaharunya di Atria, Kota Kinabalu dan Kemboja seharusnya menyokong lagi kapasiti pembedahan Optimax, kerana permintaan berkembang seiring dengan umur median dan pendapatan penduduk," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, peningkatan hasil pada 9MFY24 telah mengimbangi sebahagian kos pra-operasi yang tinggi (iaitu kos kakitangan dan inventori/bahan habis pakai yang dibeli lebih awal dan susut nilai yang tinggi pada pengembangan hospital baru-baru ini) bagi ACC baru-baru ini.

 

Firma penyelidikan itu optimis melihat beberapa pemulihan awal dalam keputusan 4QFY24 akan datang apabila pendapatan daripada ACC ini menjadi kenyataan.

 

"Pemangkin penarafan semula untuk kumpulan itu termasuk permulaan operasi hospital mata Kempas dan Setia Alam, serta perkembangan ketara dalam segmen pembedahan plastiknya," katanya.

 

Maybank IB mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) 87 sen sesaham.- DagangNews.com