Maxland kurangkan liabiliti RM10.7 juta melalui perjanjian penyelesaian hutang berjumlah RM12 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maxland kurangkan liabiliti RM10.7 juta melalui perjanjian penyelesaian hutang berjumlah RM12 juta

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 10 JunMaxland Berhad berjaya mengurangkan beban liabiliti ditanggungnya berjumlah lebih RM10 juta selepas memeterai perjanjian penyelesaian dengan beberapa pihak yang berkaitan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut berkata, langkah berkenaan bagi menamatkan pertikaian timbang tara dan prosiding mahkamah yang sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu.


Ia bersama-sama subsidiari milik penuhnya, Sinora Sdn Bhd, menandatangani perjanjian penyelesaian itu pada 9 Jun 2026 dengan syarikat GSR Pte Ltd, Transkripsi Pintar Sdn Bhd dan Anika Desiran Sdn Bhd.


"Maxland dan Sinora sudah dapat menyelesaikan semua tuntutan berkaitan keputusan timbang tara pada 23 Januari 2024 serta penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 14 November 2025," katanya.


Jumlah penyelesaian itu ujarnya, sebanyak RM12 juta, dan akan dibayar secara ansuran dalam tempoh dua tahun bermula 31 Julai 2026 sehingga 1 Julai 2028, dengan bayaran pertama kira-kira RM2.5 juta.


Menurutnya, perjanjian berkenaan dijangka memberi kesan positif kepada kedudukan kewangan kumpulan melalui keuntungan hasil pelepasan hutang atau pengurangan liabiliti yang berjumlah RM10.7 juta.


Maxland menjelaskan perjanjian itu tidak memberi kesan terhadap modal saham terbitan, pegangan saham pemegang atau kedudukan aset bersih dan hutang bagi tahun kewangan berakhir 30 November 2026.


"Di bawah syarat perjanjian, sebarang kelewatan pembayaran dikenakan faedah 8% setahun, manakala kegagalan menjelaskan ansuran boleh menyebabkan keseluruhan baki perlu habis dibayar," jelasnya.


Selain itu, kumpulan berkenaan turut memberikan jaminan korporat bagi memastikan kesemua obligasi pembayaran di bawah perjanjian tersebut dapat dipenuhi dengan lancar tanpa ada masalah besar.


Lembaga Pengarah Maxland berpandangan perjanjian itu adalah demi kepentingan terbaik syarikat dan menyediakan laluan penyelesaian lebih teratur terhadap risiko liabiliti tertunggak. - DagangNews.com