Maxland Bhd tandatangani perjanjian pajakan tanah RM10.57 juta bagi projek DCS di Kulim Hi-Tech Park | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maxland Bhd tandatangani perjanjian pajakan tanah RM10.57 juta bagi projek DCS di Kulim Hi-Tech Park

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 4 Feb - Maxland Bhd memeterai perjanjian pajakan dengan Kulim Technology Park Corp Sdn Bhd untuk menyewa sebidang tanah seluas 1.96 hektar di Zon Perindustrian Fasa 2, Kulim Hi-Tech Park, yang bernilai RM10.57 juta.

 

Maxland berkata, perjanjian pajakan itu dibuat untuk tempoh 60 tahun, bermula pada 31 Januari 2025 dan berakhir pada 31 Januari 2085 bagi menceburi perniagaan utiliti sistem penyejukan daerah (DCS).

 

"Perjanjian pajakan ini boleh diperbaharui untuk 39 tahun lagi dengan persetujuan bertulis bersama antara kedua-dua pihak, tertakluk kepada kelulusan Pihak Berkuasa Negeri Kedah," katanya dalam pemfailan dengan Bursa Malaysia.

 

Maxland berkata, perjanjian pajakan dengan Kulim Hi-Tech Park adalah langkah awal menuju pelan perniagaan syarikat dalam pembangunan kemudahan utiliti dan penyedia perkhidmatan utiliti.

 

"Langkah syarikat untuk menceburi bidang kemudahan utiliti dengan penyepaduan tenaga boleh diperbaharui sejajar dengan aspirasi negara dalam agenda pembangunan mampan," katanya.

 

Tambahnya, Kulim Hi-Tech Park adalah lokasi yang ideal untuk penubuhan DCS kerana banyak syarikat antarabangsa terkemuka dalam bidang semikonduktor dan papan litar bercetak beroperasi di situ.

 

"Semua industri ini memerlukan sistem penyaman udara berkualiti dan boleh dipercayai untuk pengeluaran cip komputer, papan litar bercetak dan komponen elektronik," jelasnya. - DagangNews.com