KUALA LUMPUR 5 Feb – Maxis Berhad mengambil langkah penting dengan memindahkan semua operasi penting dan beban kerja digital misi kritikal mereka dari Wilayah Amazon Web Services (AWS) di Singapura ke Wilayah AWS Malaysia.
Langkah itu menjadikan Maxis sebagai penyedia telekomunikasi tempatan pertama yang mencapai penanda aras tersebut.
Langkah ini meliputi aplikasi Maxis dan Hotlink yang digunakan oleh jutaan pelanggan di seluruh negara.
Dengan pemindahan semua sistem ini ke dalam Malaysia, data pelanggan dan operasi syarikat kini berada sepenuhnya dalam negara.
Semua risiko keselamatan dan isu undang-undang yang berkaitan dengan data di luar negara dapat dikurangkan. Selain itu, tindakan ini memberi jaminan bahawa sistem digital Maxis lebih selamat dan dapat dikawal sepenuhnya oleh pihak syarikat.
Ketua Pegawai Maklumat, Ng May Ching, berkata langkah ini bukan sahaja dapat melindungi maklumat pelanggan dengan lebih baik, tetapi juga memastikan semua sistem berjalan dengan lebih cepat dan lancar.
“Ini juga membantu kami bersedia untuk memenuhi keperluan digital masa depan dan menyokong agenda transformasi digital negara secara berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis Prateek Pashine berkata pemindahan operasi ke server tempatan ini memberi manfaat bukan sahaja kepada Maxis, tetapi juga membolehkan ia berkongsi kepakaran dan membantu syarikat lain di Malaysia melakukan migrasi awan mereka sendiri dengan cara yang selamat, pantas, dan efisien.
“Kami kini berada pada kedudukan yang tepat untuk membimbing perusahaan tempatan mencapai prestasi digital yang lebih baik,” katanya.
Pengurus Negara AWS Malaysia, Hussein Mohd Ali, pula berkata rangkaian telekomunikasi adalah tulang belakang ekonomi digital negara.
“Kejayaan Maxis memindahkan operasi misi kritikal ke Wilayah AWS Malaysia menunjukkan kemampuan syarikat tempatan dalam transformasi digital dan menjadi contoh yang jelas kepada syarikat lain yang ingin melakukan langkah sama bagi meningkatkan prestasi dan keselamatan operasi mereka,” katanya.
Pemindahan ini dijayakan oleh pasukan kejuruteraan awan dalaman Maxis yang mempunyai pengalaman tinggi.
Pasukan ini telah membina kepakaran teknikal sejak Maxis mula bekerjasama dengan AWS pada tahun 2016, membolehkan mereka menguruskan sistem awan yang besar dan kompleks dengan cekap.
Kejayaan ini menunjukkan Maxis bukan sahaja mengutamakan pelanggan, tetapi juga menekankan kepentingan pembangunan kemahiran dan teknologi tempatan.
Dengan semua sistem berada di Malaysia, aplikasi Maxis dan Hotlink kini beroperasi lebih pantas dengan masa tindak balas yang lebih rendah.
Pelanggan dapat menikmati pengalaman yang lancar tanpa gangguan, manakala syarikat pula berjaya menjimatkan kos operasi kerana tidak lagi perlu menghantar data ke luar negara. - DagangNews.com








