KUALA LUMPUR 9 Dis — Matrix Concepts Holdings Berhad (MCHB) mengumumkan anak syarikat milik 85%-nya, N9 Matrix Development Sdn Bhd, telah memeterai dua Perjanjian Jual dan Beli (SPA) membabitkan penjualan tanah kosong berkeluasan 8.31 ekar di MVV Techvalley kepada Bidara Pesona Sdn Bhd (BPSB), dengan nilai keseluruhan RM24.61 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MCHB berkata transaksi tersebut merupakan urus niaga pihak berkaitan memandangkan BPSB merupakan subsidiari milik penuh Strategic Castle Sdn Bhd, syarikat yang dikaitkan dengan kepentingan Dattuk Seri Lee Tian Hock dan Datin Seri Yong Chou Lian.
Butiran aset dijual merangkumi Lot H30 seluas 3.92 ekar bernilai RM11.61 juta; dan Lot H29 seluas 4.39 ekar bernilai RM13.00 juta.
Kedua-dua lot merupakan tanah pertanian kosong yang membentuk sebahagian pembangunan industri MVV Techvalley di Mukim Labu, Seremban.
Terma pembayaran dan syarat pelupusan
Mengikut perjanjian, 5% harga jualan telah dibayar ketika SPA dimeterai pada 9 Disember, diikuti 5% lagi dalam tempoh enam bulan. Baki 90% akan dibayar mengikut kemajuan kerja.
SPA tersebut turut menetapkan syarat bahawa N9 Matrix perlu memastikan penukaran status tanah daripada pertanian kepada industri dan mengeluarkan Hakmilik Individu sebelum 31 Disember 2025.
Jika gagal dipenuhi dalam tempoh ditetapkan, semua bayaran akan dipulangkan kepada pembeli tanpa faedah.
MCHB menegaskan transaksi ini tidak akan memberi kesan material terhadap modal saham, aset bersih atau pendapatan sesaham kumpulan bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Mac 2026, selain tidak mempengaruhi kedudukan gearing kumpulan.
Syarikat juga menekankan bahawa harga jualan ditentukan secara urus niaga bebas dengan terma standard yang sama seperti pembeli lain, selaras dengan dasar jualan N9 Matrix. - DagangNews.com








