KUALA LUMPUR 16 Julai — Matrix Concepts Holdings Berhad diramal memberikan tumpuan lebih kepada pelbagai projek pembangunan hartanah berpotensi di kawasan Lembah Klang, menurut MIDF Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, situasi berkenaan dapat dilihat sejak akhir-akhir ini apabila pengurusan kumpulan pemaju itu berusaha untuk mempelbagaikan hartanahnya ke luar Negeri Sembilan.
Lembah Klang tambahnya, dilihat memiliki banyak potensi yang luas dan belum lagi diteroka mereka sepenuhnya sebagai prospek saluran pertumbuhan baharu terutamanya di sekitar Banting dan Sepang.
"Pada masa ini, syarikat tersebut sudah mempunyai sebuah projek bertingkat tinggi dikenali sebagai Levia Residence di Cheras, Kuala Lumpur dan ini baru permulaan," kata MIDF Research dalam notanya.
Tambahnya, Matrix Concepts berpeluang menyaksikan pendedahan yang lebih tinggi kepada pasaran hartanah Lembah Klang berikutan pengambilalihan 70 peratus kepentingan berkesan dalam HLL Group.
Proses pengambilalihan saham berjumlah RM77.9 juta menerusi anak syarikat milik penuhnya, MCHB Development (KV) Sdn Bhd itu daripada pemegang saham utama telah diselesaikan pada April 2025.
HLL Group kata MIDF Research, mempunyai pelbagai projek di Banting dan Sepang, membolehkan Matrix Concepts menembusi pasaran hartanah Lembah Klang yang kini berada pada kadar 10 peratus sahaja.
"Kami menjangkakan kumpulan ini menyasarkan untuk meningkatkan sumbangan pendapatannya di luar daripada projek pembangunan hartanah di Negeri Sembilan kepada 30 peratus," kata firma berkenaan.
Secara keseluruhan tambahnya, syarikat pemaju itu sudah berjaya menerusi projek Bandar Sri Sendayan yang memiliki nilai pembangunan kasar RM6.5 bilion dan menyumbang 88 peratus hasil pada FY25.
Berdasarkan potensi positif itu, ia mengekalkan saranan 'beli' ke atas Matrix Concepts dengan menyemak semula harga sasaran sesahamnya kepada RM1.65 daripada RM1.59 sebelum ini. - DagangNews.com








