Matlamat jelas RMK13 buka jalan hala tuju baharu belanjawan tahunan kerajaan, kata CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Matlamat jelas RMK13 buka jalan hala tuju baharu belanjawan tahunan kerajaan, kata CGSI

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 1 Ogos — Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi matlamat jelas sasaran ekonomi negara, kata CGS International (CGSI).

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, perancangan besar selama tempoh lima tahun bermula tahun depan itu turut membuka jalan kepada hala tuju baharu dalam corak belanjawan tahunan kerajaan sendiri.

 

Ia seterusnya menjangkakan pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober 2025 oleh Anwar yang juga Menteri Kewangan, akan ada banyak elemen RMK13 untuk permulaan tahun pertama pelaksanaannya.

 

"Walau apa pun, RMK13 membuka laluan untuk perbelanjaan awam tahunan termasuk kemungkinan pertumbuhan untuk peruntukan pembangunan yang lebih sederhana," kata CGSI dalam nota kajiannya.

 

Kerajaan juga tambah firma itu, dijangka memberi penekanan yang lebih besar pada sektor tumpuan baharu dengan sasaran Malaysia mencapai status sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang 2030.

 

Di bawah perancangan itu katanya, pendapatan per kapita rakyat akan meningkat kepada AS$17,740 (RM75,939) pada tahun terakhir RMK13 berbanding AS$11,974 (RM51,255) direkodkan pada akhir 2024.

 

Justeru CGSI berkata, matlamat ditetapkan kerajaan itu, meskipun agak besar, ia nampaknya mengambil nada yang bercita-cita tinggi dan bukannya komitmen untuk dilaksanakan dalam jangka masa pendek.

 

"Sementara itu, kami bagaimanapun mendapati ada beberapa inisiatif yang diumumkan semalam, seperti pelaksanaan levi ke atas pekerja asing, sebenarnya telah dikitar semula beberapa kali," katanya.

 

Tambahan pula, CGSI melihat pembentangan RMK13 berlaku dalam situasi kepanasan landskap geopolitik yang berubah-ubah terutama pelaksanaan tarif import baharu Amerika Syarikat (AS) bermula hari ini.

 

Memandangkan perjanjian perdagangan bersifat dinamik katanya, masih belum dapat dilihat sama ada Malaysia boleh menempuhi cabaran ekonomi semasa atau jika ia memerlukan rombakan dasar secara luas.

 

Secara keseluruhan, firma itu berpendapat, RMK13 mencapai keseimbangan tepat antara keutamaan berbeza banyak pemain ekonomi dan memberikan pelabur melihat potensi jangka sederhana Malaysia.

 

"Rancangan ini adalah cerminan senarai keinginan kerajaan, dan tiada perubahan ramalan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar 2025 kami sebanyak 4.2 peratus," katanya. - DagangNews.com