Master Tec jalin kerjasama dengan Yangtze Marine teroka pasaran kabel kuasa berteknologi tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Master Tec jalin kerjasama dengan Yangtze Marine teroka pasaran kabel kuasa berteknologi tinggi

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 19 Jun – Master Tec Group Bhd memeterai kerjasama strategik dengan Yangtze (Jiangsu) Marine Technology Company Ltd dari China bagi meneroka pembangunan bersama rumusan kabel kuasa berteknologi tinggi untuk pasaran infrastruktur tenaga di Malaysia.

 

Perjanjian itu membolehkan Master Tec mempromosi dan menjual produk Yangtze Marine di pasaran tempatan, dengan perluasan ke pasaran serantau bergantung kepada kesesuaian.

 

Yangtze Marine akan menyokong pembangunan Master Tec melalui kerjasama teknikal, input reka bentuk, dan kepakaran kejuruteraan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Master Tec, Tee Kok Hwa berkata, kerjasama itu selari dengan aspirasi pertumbuhan syarikat untuk muncul sebagai pemain utama dalam bidang kabel kuasa berteknologi tinggi.

 

"Dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap kabel kuasa generasi baharu berkapasiti tinggi, khususnya dalam infrastruktur dasar laut dan penghantaran tenaga, kerjasama ini meletakkan kami di landasan kukuh untuk meneroka segmen pasaran baharu sambil mengekalkan piawaian teknikal yang ditetapkan oleh pelanggan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ia merangkumi kabel kuasa komposit dasar laut untuk sistem pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara (HVAC) serta penghantaran arus terus voltan tinggi (HVDC), kabel optical ground wire (OPGW), konduktor udara khas berkapasiti tinggi dan kendur rendah seperti konduktor aluminium terma diperkuat keluli (TACSR), serta kabel bawah tanah voltan tinggi berkapasiti sehingga 132 kilovolt (kV) dan ke atas.

 

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Yangtze Marine, Jan Bongaerts berkata, pihaknya amat berbesar hati memulakan kerjasama dengan Master Tec yang berkongsi nilai dalam aspek inovasi, mutu, dan kemajuan infrastruktur jangka panjang.

 

Yangtze Marine membawa lebih 10 tahun pengalaman teknikal hasil sokongan pemegang sahamnya, Yangtze Optical Fibre and Cable dan Baosheng Science & Technology Innovation Co Ltd.- DagangNews.com