KUALA LUMPUR 8 Julai — Masalah teknikal dalam sistem bacaan digital Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengakibatkan graf penggunaan elektrik Julai 2025 tidak tepat dipaparkan menerusi aplikasi myTNB.
Syarikat utiliti tersebut berkata, beberapa isu itu mungkin telah menyebabkan kekeliruan dalam kalangan sesetengah pengguna yang melihat bacaan kilowatt per jam (kWj) sebagai tinggi tanpa dijangka.
TNB menjelaskan bahawa isu gangguan teknikal berkenaan hanya menjejaskan beberapa paparan grafik dalam aplikasi tersebut, dan bukannya melibatkan pengebilan rasmi atau bacaan meter yang sebenar.
Bagaimanapun tambah syarikat berkenaan, graf penggunaan semasa pada bulan tersebut telah dialih keluar buat sementara waktu untuk membolehkan jurutera sistem berusaha menyelesaikan isu itu.
"TNB ingin memberi jaminan kepada pelanggan bahawa pengebilan akhir akan mencerminkan penggunaan yang betul," kata operator utiliti itu dalam kenyataan sambil memohon maaf atas kesulitan tersebut.
Firma berkenaan juga menggalakkan semua penggunanya yang terjejas supaya segera bertindak dengan menghubungi saluran perkhidmatan pelanggannya untuk bantuan lanjut serta mengelakkan kekeliruan.
Pada 1 Julai 2025, TNB mula melaksanakan tarif elektrik baharu untuk Semenanjung Malaysia dengan turut memperkenalkan struktur pengebilan semasa yang lebih telus dan terperinci untuk rujukan pengguna.
Mekanisme itu menggantikan harga berperingkat dengan komponen untuk tenaga, kapasiti, rangkaian dan kos runcit, sambil menawarkan Insentif Kecekapan Tenaga dan skim Masa Penggunaan yang diperluaskan.
Langkah berkenaan sebagai usaha syarikat berkenaan menggalakkan bil bulanan lebih rendah dengan penggunaan bekalan elektrik secara cekap dan amalan penjimatan yang berhemah. - DagangNews.com








