Malaysian Pacific kaut untung bersih RM74.4 juta bagi 2QFY26 dipacu peningkatan jualan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysian Pacific kaut untung bersih RM74.4 juta bagi 2QFY26 dipacu peningkatan jualan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 9 Feb - Malaysian Pacific Industries Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM74.44 juta bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2025, naik berbanding RM52.07 juta pada tempoh sama FY25.


Tambahnya, peningkatan prestasi ini didorong terutamanya oleh volum jualan yang lebih tinggi menghasilkan pendapatan lebih besar serta margin keuntungan kasar amat baik bagi kumpulan tersebut.


Katanya, hasil bagi suku di bawah tinjauan tersebut melonjak kepada RM626.6 juta, iaitu peningkatan kira-kira 18% berbanding sebanyak RM530.5 juta pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya. 


"Keuntungan sebelum cukai (PBT) juga meningkat kepada RM81.2 juta berbanding hanya RM58.7 juta pada tahun yang sebelumnya," jelas Malaysian Pacific dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.


Sementara itu tambah kumpulan berkenaan, dari segi prestasi segmen, hasil daripada pasaran Asia, Amerika Syarikat (AS), dan Eropah masing-masing juga bertambah sebanyak 14%, 54%, dan 8%.


Katanya, bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Disember 2025, kumpulan tersebut mencatatkan keuntungan bersih terkumpul sebanyak RM143.5 juta berbanding RM92.6 juta bagi tempoh yang sama tahun 2024.


Melihat kepada prospek masa depan, Malaysian Pacific yakin industri semikonduktor terus dipengaruhi oleh perkembangan semasa termasuk tarif AS, harga komoditi, dan kelemahan mata wang dolar AS. 
 

"Bagaimanapun, kami kekal optimis bahawa prestasi akan terus mendapat manfaat daripada permintaan kukuh untuk pelayan kecerdasan buatan (AI) dan pemulihan dalam segmen automotif," jelasnya lagi.


Dalam perkembangan yang lain, ia turut memaklumkan pengambilalihan keseluruhan modal saham Infineon Technologies (Thailand) Limited pada 4 Februari 2026 sudah diselesaikan kumpulan itu.


Syarikat pembuatan teknologi terkenal di negara itu dibeli dengan harga AS$76.94 juta (kira-kira RM313.33 juta), dan kini dikenali sebagai Carsem Semiconductor (Bangkok) Ltd. - DagangNews.com