Malaysian Pacific diunjur terjejas teruk berikutan isu muflis Wolfspeed di AS - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysian Pacific diunjur terjejas teruk berikutan isu muflis Wolfspeed di AS - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 Mei — Malaysian Pacific Industries Berhad diunjur terjejas teruk berikutan langkah firma semikonduktor global, Wolfspeed Inc berpusat di Amerika Syarikat (AS) memfailkan usul berkaitan status muflis, menurut RHB Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, harga saham syarikat berkenaan juga merosot sebanyak 10 peratus dalam dagangan di Bursa Malaysia semalam walaupun usaha Wolfspeed bertujuan bagi menyelamatkannya daripada diisytiharkan muflis. 


Katanya, kebanyakan syarikat teknologi sekuruh dunia berharap Wolfspeed kekal beroperasi ketika cuba melaksanakan pelan penstrukturan semula hutangnya kerana segmen rumusan silikon karbid masih lagi kritikal dalam bidang semikonduktor global. 


"Walaupun ada potensi risiko sekiranya pelan Wolfspeed itu tiba-tiba gagal, kami beranggapan perniagaan Malaysian Pacific perlu diteruskan seperti biasa dan melihat tiada gangguan dengan serta-merta," kata RHB Research dalam satu nota kajiannya.


Terdahulu, Wall Street Journal melaporkan Wolfspeed bersedia memfailkan kebankrapan dalam masa beberapa minggu lagi kerana bergelut dengan hutang semakin meningkat setelah terjejas oleh permintaan lembap dan ketidaktentuan tarif AS.


Mengulas lanjut, firma penyelidikan tersebut berkata, kesan ke atas Malaysian Pacific akan menjadi negatif sekiranya pelanggan mereka itu gagal dalam meneruskan operasi harian, dan boleh membawa kepada potensi risiko hutang yang lebih besar.


Tambah RHB Research, pendedahan hasil syarikat berkenaan kepada Wolfspeed memang tinggi yang dianggarkan mencecah sebanyak 10 peratus dan langkah firma AS tersebut sepatutnya membolehkan penyusunan semula bagi meneruskan aktiviti perniagaan.


Berdasarkan senario itu, firma tersebut bagaimanapun masih lagi mengekalkan saranan "beli" ke atas Malaysian Pacific dengan harga sasaran adalah tidak berubah kepada RM29.70 sesaham. - DagangNews.com