Malaysia satu-satunya negara di dunia laksana subsidi petrol menyeluruh ketika ekonomi tidak menentu  – PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia satu-satunya negara di dunia laksana subsidi petrol menyeluruh ketika ekonomi tidak menentu  – PM Anwar

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 22 Sept – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang memperkenalkan kadar subsidi petrol menyeluruh untuk rakyat ketika ekonomi dalam keadaan tidak menentu.

 

Menurut beliau, meskipun kerajaan kini mewarisi bebanan hutang yang besar daripada pentadbiran terdahulu, pelaksanaan subsidi ini masih dapat direalisasikan hasil daripada tadbir urus yang lebih baik.

 

"Ia bukan sesuatu yang mudah untuk dijelaskan, jadi saya berikan sedikit konteks.

 

"Orang ramai sering menumpukan perhatian kepada isu pendidikan, tetapi sebenarnya ada banyak keutamaan lain yang perlu ditentukan. Dalam konteks fiqh, ia merujuk kepada keutamaan – inilah yang saya maksudkan sebagai 'prioritisation' atau keutamaan.

 

"Kita boleh buat kerana kita bekerja ke arah tadbir urus yang baik, hasil yang baik dan mengelak mengulangi kesilapan lalu. Jika ini dapat dikurangkan, maka hasilnya akan menjadi lebih baik," katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, di Putrajaya hari ini.

 

anwar himpun jpm
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap dalam Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, di Putrajaya hari ini.

 

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

 

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

 

Anwar berkata, pendekatan seumpama ini mencerminkan kebijaksanaan kerajaan dalam menetapkan keutamaan negara dari peringkat tertinggi pentadbiran.

 

“(Bagi mana-mana negara di dunia untuk turunkan harga bahan api ketika ekonomi tidak menentu), ia memerlukan keberanian,” tegas beliau.

 

Terdahulu, Anwar mengumumkan harga petrol RON95 akan ditetapkan pada kadar RM1.99 seliter untuk semua rakyat Malaysia bermula 30 September ini.

 

Anggota polis dan tentera akan menikmati harga baharu tersebut lebih awal iaitu bermula 27 September, manakala penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pula boleh mula menikmati kadar subsidi itu pada 28 September.

 

Inisiatif subsidi bahan api di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95) akan menyaksikan penurunan harga dari RM2.05 seliter kepada RM1.99 seliter.

 

Jelas Perdana Menteri, semua warganegara yang memiliki lesen memandu yang sah – dianggarkan seramai 16 juta orang – layak menerima subsidi RON95 ini, dengan had maksimum 300 liter sebulan.

 

Pemandu e-hailing pula akan menikmati harga subsidi RM1.99 seliter secara berterusan mengikut keperluan.

 

Perdana Menteri berkata pulangan hasil daripada pelaksanaan penyasaran subsidi akan disalurkan semula kepada rakyat dengan keutamaan diberikan kepada sektor pendidikan, kesihatan dan penambahbaikan prasarana asas.

 

Katanya, langkah penyasaran subsidi diesel misalnya membolehkan kerajaan melaksanakan pemberian penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM100 kepada rakyat Malaysia 

 

"Kita mampu memberikan hasil balik kepada rakyat seperti penghargaan SARA... walaupun RM100, implikasi kewangan kepada negara itu RM2 bilion... ini dapat dilakukan kerana penyasaran subsidi minyak diesel dahulu.

 

“Sekarang penyasaran subsidi naik sedikit untuk bukan warganegara (tetapi) turun bagi rakyat, dan tentunya hasil pulangan itu akan kembali kepada rakyat seperti (mereka yang terkesan akibat) banjir yang menyebabkan banyak kerosakan termasuk di Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya, cerun, klinik dan sekolah yang terjejas teruk serta perlu dibangunkan semula.

 

“Ini merupakan beban baharu yang kita harus manfaatkan daripada dana ini untuk bantu rakyat terjejas dan tumpuan kita masih dalam bidang pendidikan, kesihatan dan prasarana asas,” katanya.

 

Perdana Menteri juga berharap rakyat dapat menerima langkah berani kerajaan dalam melaksanakan penyasaran subsidi dengan hati yang terbuka demi kepentingan dan pembangunan negara.

 

“Jadi terimalah dengan baik... mudah-mudahan kita bersyukur kepada Allah SWT kerana negara aman, ekonomi masih bertahan, rakan-rakan penjawat awam (berperanan) dengan baik, dan kita mampu memberikan hasil balik kepada rakyat,” katanya.  - DagangNews.com