KUALA LUMPUR 14 Julai – Kerajaan menyasarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai rujukan global dalam pembangunan sektor pertanian perladangan mampan menerusi pendekatan berasaskan sains, inovasi teknologi serta pengeluaran yang lebih bertanggungjawab.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, usaha itu menjadi sebahagian daripada agenda kerajaan untuk memastikan sektor perladangan negara kekal berdaya saing, relevan dan mampu memenuhi keperluan pasaran antarabangsa yang semakin menekankan aspek kemampanan.
Beliau berkata, kerajaan telah menggariskan lima komitmen utama bagi memacu transformasi sektor perladangan negara, bermula dengan memperkukuh kemampanan sebagai asas kepada pertumbuhan industri dalam jangka panjang.
Menurutnya, pembangunan sektor perladangan tidak lagi boleh dilihat hanya dari sudut peningkatan pengeluaran, sebaliknya perlu mengambil kira keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan sosial.
“Kerajaan akan terus memperkukuh kemampanan sebagai asas daya saing jangka panjang bagi memastikan pertumbuhan ekonomi berjalan seiring dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar serta keterangkuman sosial.
“Komitmen kedua adalah mempercepat penggunaan inovasi menerusi sokongan terhadap aktiviti penyelidikan, pendigitalan dan penerimagunaan teknologi maju bagi meningkatkan produktiviti serta kecekapan sepanjang rantaian nilai industri.
“Penggunaan teknologi seperti automasi, pendigitalan dan penyelesaian berasaskan data penting bagi membantu industri perladangan menangani cabaran semasa termasuk peningkatan kos operasi serta keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi,” katanya ketika berucap pada Persidangan Penanam Antarabangsa Ke-11 2026 di Kuala Lumpur.


Selain itu, kerajaan turut memberi tumpuan kepada usaha memperkasa pekebun kecil dan komuniti perladangan supaya mereka turut menikmati manfaat daripada perubahan industri ke arah sektor yang lebih moden dan berteknologi tinggi.
Noraini berkata, aspek keempat membabitkan usaha meningkatkan nilai tambah industri menerusi pembangunan sektor hiliran, pengkomersialan hasil penyelidikan, produk berasaskan bio serta konsep ekonomi kitaran.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan komoditi negara tidak hanya bergantung kepada pengeluaran bahan mentah, sebaliknya mampu berkembang kepada industri bernilai tinggi yang menyumbang kepada sumber pertumbuhan ekonomi baharu.

Komitmen kelima pula adalah memperkukuh kerjasama antarabangsa memandangkan masa depan sektor perladangan mampan bergantung kepada perkongsian pengetahuan, kerjasama teknologi serta hubungan strategik antara negara.
Dalam masa sama, Noraini berkata kerajaan akan terus memperkukuh Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sebagai bukti komitmen negara terhadap pengeluaran minyak sawit yang bertanggungjawab, pemeliharaan alam sekitar dan amalan sosial yang baik.
Beliau berkata, pendekatan bersepadu melibatkan teknologi, inovasi, kemampanan dan pembangunan modal insan akan menjadi asas penting bagi memastikan sektor perladangan Malaysia terus kukuh serta diyakini di peringkat global.
Secara keseluruhannya, hala tuju baharu sektor perladangan negara adalah untuk beralih daripada industri berasaskan pengeluaran semata-mata kepada ekosistem yang menghasilkan produk bernilai tinggi, menggunakan teknologi moden dan mampu bersaing dalam pasaran dunia. - DagangNews.com








